BERITA
Kebakaran Gas Putra Heights: Polis Buka Siasatan Dakwaan Tular Ada Mangsa Mati
Polis Selangor membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tular yang menyatakan terdapat kes kematian dalam insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran maklumat palsu.
"Polis menerima satu laporan daripada Pusat Kesihatan Daerah yang memaklumkan mengenai laporan tular di media sosial mengenai kematian yang didakwa berlaku dalam bencana ini.
"Oleh itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah seksyen yang dinyatakan di IPD Petaling Jaya," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis akan menyiasat perkara ini dengan teliti untuk memastikan sebarang maklumat yang tidak sahih atau berunsur fitnah dapat diambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan turut mengesahkan tidak menerima sebarang laporan kematian membabitkan insiden kebakaran saluran gas itu seperti tular di media sosial.
KKM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mengenai seorang mangsa meninggal dunia kerana melecur akibat insiden berkenaan.
Sumber: Awani