Hiburan
Kebakaran Hutan Di Canberra, Nurfatima Dalam Keadaan Baik
Bekas finalis Gegar Vaganza 2019 (GV 2019) Nurfatima memberitahu berada dalam keadaan baik dan sihat walaupun cuaca sedikit berjerebu di Canberra, Australia.
Nurfatima ketika dihubungi Gempak berkata, cuaca juga bertambah baik semalam kerana hujan pada hari sebelumnya.
“Saya di sini baik-baik sahaja. Cuaca pun agak baik berbanding hari-hari sebelumnya kerana hujan semalam (Ahad).
“Alhamdulillah kesihatan saya dan keluarga di sini juga tidak terjejas. Saya harap hari esok dan seterusnya keadaan bertambah baik,” katanya.
Tambah penyanyi Selembut Sutera yang sudah berada di Canberra sejak empat hari lalu itu lagi, tidak banyak yang berbeza sejak kebakaran berlaku, selain suhu agak panas.
“Bagi saya macam biasa sahaja cuma cuaca agak panas berbanding kebiasaan. Terima kasih kepada yang menghantar pesanan dan mendoakan saya di sini,” katanya.
Nurfatima kembali ke Canberra, sejak empat hari lalu selepas tamat GV 2019.
Dalam perkembangan lain Australia bakal berdepan gelombang panas Sabtu ini ekoran kebakaran hutan yang berlaku di negara tersebut.
Setakat ini sahaja, sekitar 5 juta hektar (12.35 juta ekar) kawasan disahkan terbakar manakala sekurang-kurangnya 17 orang telah terbunuh dan lebih daripada 1,400 rumah telah musnah.
Kira-kira 480 juta haiwan dianggarkan terkorban akibat kebakaran yang makin marak di hampir seluruh Australia sejak hujung Ogos lalu.
Must-Watch Video