HIBURAN
Kebakaran Saluran Gas: Raja Syahiran Berdepan Detik Cemas, Luluh Hati Tengok Kereta Mencair - "Situasi Di Sana Ibarat 'Perang', Macam Baru Lepas Letupan"
Pelakon, Raja Syahiran merupakan antara salah seorang yang berada di tempat kejadian kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya yang berlaku hari ini.
Kereta mencair, bahang terlalu panas
Ketika dihubungi Gempak, Syahiran memaklumkan dia berada di sana untuk cuba menyelamatkan kenderaannya yang diletakkan di rumah pakciknya namun gagal.
“Saya tinggalkan kereta dekat rumah pakcik, saya cuba selamatkan namun gagal kerana kenderaan itu sudah cair akibat bahang terlalu panas.
“Saya sendiri pun mula mula masuk pakai kereta tetapi bila lihat kereta kereta sekeliling dah cair saya masuk naik motor pula.
“Masa tengok keadaan kereta tu memang rasa sedih tapi bila lihat orang-orang yang terselamat buat saya lebih lega,” katanya.
Ibarat seperti tempat perang
Dalam pada itu, Syahiran juga turut berkongsi situasi ketika kejadian kebakaran berlaku.
“Situasi di sana boleh diibaratkan seperti tempat perang, sebab ada batu-batu besar, macam baru lepas letupan. Penuh dengan dengan batu bata, ada juga cermin pecah.
“Pagar pun sudah cair sebab pembakaran itu lama dan berpanjangan jadi memang banyak benda yang cair termasuklah kereta saya.
“Kalau rumah yang berada di barisan pertama memang dah ‘gone’ sebab dekat dengan tempat terbakar,” kongsinya.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku pagi tadi melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter dengan api marak menjulang tinggi.
Must-Watch Video