Gaya Hidup
Kebaya Diiktiraf Warisan Kebudayaan Tidak Ketara UNESCO
Malaysia berjaya memperoleh pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya bersama-sama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) sesi ke-19 yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Disember ini.
Menurut kementerian tersebut, Kebaya: ‘Knowledge, Skills, Traditions and Practices’ di bawah kategori ‘Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’ merupakan pencalonan secara bersama dengan empat negara berkenaan.
“Kejayaan penyenaraian ini menjadikan tiga pencalonan secara bersama berjaya diperoleh Malaysia, terdahulu adalah pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).
“Penyenaraian berprestij ini diputuskan oleh IGC ICH yang dianggotai 24 negara anggota di bawah Konvensyen untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003.
“Ia lebih bermakna apabila badan penilai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf dosir pencalonan kebaya sebagai contoh yang jitu dan berprestij,” katanya.
Pengiktirafan kebaya sebagai warisan tidak ketara UNESCO merupakan hasil kerjasama strategik antara MOTAC, Jabatan Warisan Negara, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan Kementerian Luar Negeri (KLN).
Ia mampu mempamerkan kepimpinan Malaysia di persada dunia sebagai usaha untuk menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi 2025 hingga 2029.
Tambahnya, Malaysia yang menerajui inisiatif tersebut telah menganjurkan bengkel siri pertama pada 1 hingga November 2022 lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan ia disertai wakil negara lain seperti Brunei, Indonesia, Singapura serta Thailand.
Jelas kementerian itu lagi, bengkel siri kedua pula dianjurkan Kerajaan Indonesia pada 6 hingga 8 Februari 2023 lepas di Jakarta, Indonesia.
“MOTAC juga mengadakan mesyuarat berkala secara dalam talian selain bengkel bersemuka bagi melengkapkan maklumat pencalonan bersama.
“Pengiktirafan ini meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat dunia sebagai negara dengan khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan serta menyumbang kepada ekonomi.
“Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara empat negara lain yang bersama-sama mempromosikan kebaya sebagai simbol warisan serantau agar ia dilestarikan buat generasi akan datang,” ujar MOTAC.
Must-Watch Video