'Kebetulan Saja Duduk Bersebelahan, Takkan Bercinta Pula?' - Amelia Henderson
Gempak
11/09/2024 09:10 MYT
11/09/2024 09:10 MYT
Pelakon, Amelia Henderson menjelaskan hubungannya dengan anak tiri kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Aazief Khalid hanya sekadar kawan.
Amelia ketika ditemui Harian Metro berkata, dia serba-salah apabila nama Aazief tiba-tiba dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengannya sedangkan masing-masing kali pertama bertemu pada konsert Siti yang berlangsung di Genting Highlands, bulan lalu.
"Saya dan Izara Aishah (menantu Siti) memang berkawan baik. Jadi, dia mengajak saya untuk menonton konsert Siti di Genting Highlands.
"Sudah tentu saya bersetuju untuk menyaksikan persembahan seorang legenda. Namun pada hari itu saya ditemani adik lelaki dan seorang lagi rakan perniagaan.
"Cuma kebetulan saya duduk bersebelahan dengan Aazief dan wajah kami ada dalam video yang dimuat naik kakak ipar Aazief iaitu Tya Ariffin.
"Saya kasihan kepada Aazief sebab dia lelaki yang baik. Tak sangka ada pula pihak buat spekulasi mengenai kami," katanya.
Menurut Amelia, dia ingin mengingatkan orang luar supaya tidak mudah membuat andaian tidak benar hanya dengan melihat satu situasi yang terjadi.
"Sekarang saya tak tahu bagaimana nak minta maaf kepada mereka sebab secara tak langsung dah membabitkan mereka dalam hal peribadi saya.
"Saya mungkin dah faham dengan dunia industri seni ini. Misalnya kalau saya berlakon dengan mana-mana pelakon lelaki, akan ada yang 'kenenkan' saya .
"Cuma saya nak jelaskan walaupun kami duduk bersebelahan, tak semestinya kita jatuh cinta atau berkawan. Saya yakin dia mesti terkejut dengan apa yang berlaku ini," katanya.
Sebelum ini, timbul gossip mendakwa Aazief dan Amelia sedang menjalinkan hubungan istimewa selepas dilihat hadir bersama ke konsert Cinta Di Awan Siti Nurhaliza di Genting Highland pada 11 Ogos lalu.
Lebih menguatkan dakwaan itu lagi, mereka turut dilihat duduk bersebelahan ketika menyaksikan konsert berkenaan.
Sumber: Harian Metro