Berita
Kebocoran Gas Di Kargo KLIA: Bomba Giat Kenal Pasti Punca
Pasukan bomba sedang giat mengenal pasti bahan kimia yang bocor di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.
Beberapa jalan ditutup
Tinjauan Bernama mendapati pusat operasi telah dibuka sebagai kawalan risiko dengan beberapa jalan menuju ke tempat lokasi ditutup kepada orang awam.Insiden kebocoran bahan kimia dipercayai gas metana itu dilaporkan berlaku pagi tadi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dalam kenyataan memaklumkan Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia di lokasi berkenaan pada jam 11.23 pagi.
Berikutan itu, 23 pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam dan JBPM Negeri Sembilan digerakkan ke lokasi kejadian.
Agensi lain yang terlibat dalam operasi itu termasuk Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), pasukan Aviation Security (AVSEC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Air Side Safety.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Muhammad Nur Khairi Samsumin terdapat 20 mangsa mengalami pening kepala yang terdiri daripada petugas Sepang Aircraft, MAS Engineering Hangar dan CAE.
Sumber: SINAR HARIAN
Must-Watch Video