Pengarah Shahrulezad Mohameddin meluahkan rasa kecewa melihat sikap pengunjung yang beramai-ramai berkunjung ke Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Kata Shahrulezad, dia bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum Malaysia menjadi kritikal seperti di negara India.

"Kita adalah sebahagian masyarakat yang hipokrit. Kalau artis, selebriti, ahli politik, personaliti media sosial langgar SOP sampai ke lubang cacing kita dok kutuk maki dan cerca.

"Kalau macam ni punya ramai manusia dah rupa macam ulat taik. Jangan mimpi SOP akan terjaga. Memang tak lah.

"Kalau ikutkan rasa kecewa, abang ni sebenarnya setuju sangat-sangat PKP3 dilaksanakan balik. Tiada belas kasihan. Sebelum Malaysia jadi macam India, baiklah kerajaan bertegas.

"Tak guna kalau ada perintah darurat kalau rakyat masih tak faham-faham akan realiti sebenarnya. Rakyat kita tamak.

"Mereka nak kerajaan faham kesusahan mereka gara-gara pandemik. Tapi bila kerajaan cuba memberi kelonggaran macam ni. Ini balasan yang kerajaan dapat.

"Jadi tutup sajalah segala bazaar bagai tu. Tak ada majlis perkahwinan. Tak ada perhimpunan. Tak ada raya. Tak boleh merentas daerah atau negeri. Termasuk tak ada penggambaran!!!

"Buat macam Wuhan tu terus. Kurung kita semua yg degil ni. Sakit memang sakit tapi kalau dah degil sangat tu saja ubatnya," tulisnya di Instagram pada Ahad.

Tambah Shahrulezad, antara cara lain untuk memberi pengajaran adalah dengan membuka sempadan tanpa mempedulikan apa yang akan berlaku selepas itu.

"Atau mungkin kerajaan buka semula sempadan larangan bagai. Tak ada PKP. Tak ada SOP. Tak ada penjarakan fizikal. Tak ada program vaksin.

"Biar dorang semua kena Covid. Kalau terkena Covid lantakkan ja dorang macam tu saja. Frontliner tak payah buat apa apa. Paling-paling kasi saja panadol.

"Nak mati ke nak hidup ke lepas tu sukati dorang la. Makin dilarang. Makin dipesan makin bodoh jadinya sorang-sorang tak bersalah," tulis Shahrulezad.

Dalam pada itu, Shahrulezad mengingatkan sikap kedegilan individu akan makan diri sendiri dan ahli keluarga sehinggakan mampu menyebabkan kehilangan nyawa.

"Kita ingat kita ni kebal ke? Kita tak terfikir ke disebabkan kedegilan kita selang dua minggu dari sekarang akan ada yang mati kerana Covid dari kita.

"Mungkin ibu bapa kita. Mungkin anak kita. Atau silap-silap kita sendiri yang mati hanya kerana kemaruk nak berbazar ramadan. Sia-sia ja mati disebabkan kedegilan kita. Kejahilan kita.

"Maaf abang give up dah dengan perangai orang kita. Lantak korang la kalau nak mampos kerana Covid sekalipun. Aku dah tak nak rasa kesian lagi dah.

"Tahun lepas tak ada bazar elok saja hidup kita. Boleh juga beraya. Boleh pulak kita shopping online. Tahun ini dah tak boleh? Dah tak reti nak latih dengan norma baharu?" tulisnya lagi.