BERITA

Kecewa Ditinggal Teman Wanita, Remaja Buat Ancaman Bom Palsu

Gempak 20/04/2025 | 09:55 MYT
Seorang remaja lelaki di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan selepas didapati bersalah membuat ancaman bom palsu terhadap sebuah kapal persiaran.

Joshua Lowe, 19, dihukum oleh Mahkamah Daerah AS pada 14 April lalu atas perbuatannya yang menyebabkan kekec.

Menurut AP News, Joshua telah menghantar e-mel kepada syarikat Carnival Cruise Lines pada Januari 2024 dengan memberi amaran mengenai kemungkinan terdapat bom di atas kapal pelayaran Sunrise.

“Hey, saya rasa mungkin ada seseorang membawa bom dalam kapal pelayaran Sunrise anda,” tulisnya dalam emel berkenaan.

Pejabat Peguam Negara AS memaklumkan, ketika itu kapal tersebut baru sahaja berlepas dari Florida dan dalam perjalanan ke Jamaica.

Ekoran ancaman itu, kakitangan kapal terpaksa memeriksa lebih seribu bilik bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

Syarikat berkenaan turut memaklumkan perkara itu kepada Pengawal Pantai AS dan pihak berkuasa Jamaica sebelum kapal terbabit diiring kembali ke pelabuhan.

Hasil siasatan pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati emel berkenaan dihantar dari kediaman Joshua yang tinggal bersama teman wanitanya.

Joshua mengaku bersalah dan memberitahu dia bertindak demikian kerana berasa kecewa ditinggalkan untuk menjaga haiwan peliharaan, sementara teman wanitanya bersama keluarga pergi bercuti menaiki kapal itu.

“Ini semua salah saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya dalam sepucuk surat permohonan maaf yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Daerah.

Sumber: Sinar Harian

#wanita #Bom #Kecewa #Teman #Palsu #Ancaman #Tinggal