Hiburan

Kecoh Artis Minta Bantuan Kerajaan, Amy Search Kenang Dulu Pernah Bawa Kereta Terpakai

gempak
Gempak ID
30/03/2020
00:04 MYT
Sponsor Banner
Kecoh Artis Minta Bantuan Kerajaan, Amy Search Kenang Dulu Pernah Bawa Kereta Terpakai
Industri hiburan Malaysia jadi panas selepas ada segelintir artis yang bersuara meminta kerajaan untuk tidak terlepas pandang terhadap golongan pelaku seni yang juga memerlukan bantuan.
Sejak itu, banyak pandangan yang diberikan di media sosial oleh pelbagai pihak baik dari golongan artis sendiri mahupun netizen.
Salah seorang selebriti yang ikut dipertanyakan mengenai isu artis juga mahu kerajaan membantu mereka, Amy juga punya buah pandangan sendiri.
Dalam sesi temu bual secara langsung di segmen IG Live #ArtisDudukDiam pada Ahad di akaun Astro Gempak, bekas vokalis Search ini mengatakan sebagai rakyat Malaysia sudah pasti golongan artis juga tidak dipinggirkan menerima bantuan daripada kerajaan.
"Saya percaya selepas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang bantuan kepada seluruh rakyat, itu termasuklah buat golongan artis sebab kita juga rakyat Malaysia.
"Jadi sabar dan ikut panduan yang diberikan kerajaan tentang bantuan yang akan disalurkan kepada rakyat Malaysia. Kita artis, kita rakyat Malaysia, kita pasti akan dapat.
"Saya menyeru juga badan badan atau organisasi yang bertanggungjawab menjalankan tugas mereka membantu seluruh pelaku seni termasuk yang di belakang tabir," kata Amy optimis.
Vokalis berusia 62 tahun itu mengatakan hal yang perlu diberi fokus buat masa ini juga adalah tentang pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia untuk kekal tenang dan mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
"Saya merayu kepada seluruh rakyat Malaysia, duduk rumah, kekal tenang, ikut saranan kerajaan. Yang penting kita berdoa supaya COVID-19 ini segera berakhir," ujar Amy berkali-kali.
Pada masa sama, Amy turut mengimbas kisah hidupnya yang pernah susah.
Mengaku seawal karier bersama Search, kehidupannya pernah mewah, namun sekitar 10 tahun lepas beliau berhadapan dengan krisis hidup yang sangat mencengkam sehingga kehilangan semua aset yang pernah dikumpulnya sepanjang bergelar pelaku seni.
"Kita kena sediakan payung sebelum hujan. Macam itu yang saya fikir, fikir tentang 10 tahun ke depan, persediaan kita misalnya.
"Macam saya dulu, saya rasa dalam 10 tahun lepas saya hilang habis semua aset. Sampai saya hanya bawa kereta terpakai. Tapi ada artis rasa malu, naik Kancil badan boleh jadi gatal-gatal.
"Kita kena selalu ingat, jangan terlarut dalam sindrom 'star'. Ada masa kita tidak tahu apa akan jadi, maka kena beringat.
"Jadi untuk saya, saya selalu beringat dan ukur baju di badan sendiri. Ada lebih, saya belanja lebih. Tak ada lebih, kita ala kadar," katanya yang mengingatkan agar rakan artis selain bijak menabung juga perlu mengambil insurans diri dan persediaan lainnya untuk hari tua.
Terdahulu, menerusi sesi temu bual sama, Amy mengumumkan keluar daripada kumpulan Search.
BACA: Amy Search Umum Keluar Search
Menurut Amy, pengunduran yang dibuat adalah untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang buat anggota Search yang lain, Nasir, Kid dan Din mengorak langkah masing-masing tanpa bergantung atau tersekat kerana dirinya.
Teks Oleh: Maliah Surip
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live