Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Kecoh 'Beraya Tengok Rak Buku', Pemilik Syarikat Penerbitan Tersinggung Komen Jahat Netizen! - "Ada Kata Isteri Saya Tak Pandai Jaga Suami"

Amri Hassan
29/05/2020 00:15 MYT
Pengasas sebuah syarikat penerbitan buku popular, Ahmad Saifuddin Amran terkilan apabila keluarganya diheret netizen susulan kenyataannya yang tular di Facebook baru-baru ini.

Jelas Saifuddin, 33, dia tidak menyangka pandangannya meninjau rak buku dalam rumah orang lain ketika menziarah mengundang persepsi tidak sihat dalam kalangan orang ramai.

"Secara umumnya saya tidak terasa hati sangat kecuali komen-komen yang telah mengheret keluarga saya ke dalam isu ini kerana mereka tiada kaitan dengan isu yang saya bangkitkan.

"Antaranya, komen yang berkata isteri saya tidak pandai menjaga suaminya.

"Saya agak terkejut juga kerana saya buat hantaran itu tengah malam dan tidak berniat untuk tular pun.

"Kira-kira 4 tahun lepas juga saya pernah buat hantaran yang lebih kurang sama tetapi kurang menjemput perhatian seperti hantaran kali ini.

"Bangun pagi saya lihat sudah banyak deretan komen yang tidak berpuas hati dengan pendapat saya," katanya kepada Gempak.

Saifuddin mengulas mengenai status yang tular di Twitter yang berpendapat seseorang individu tidak perlu membaca buku sebaliknya menggunakan wang itu untuk membeli makanan.



Balas Saifuddin, pemerhatiannya mendapati kebanyakan rumah yang dilawatinya kurang menitik beratkan soal bahan bacaan fizikal seperti buku sebaliknya memberikan lebih fokus kepada siaran berbayar dan Internet.



Pandangan Saifuddin itu telah mencetuskan kemarahan dan perasaan kurang senang kebanyakan pihak yang merasakan tindakan menilai apa yang ada di kediaman orang lain adalah salah.

"Saya bersetuju dengan teguran dan pandangan wargamaya tentang perkara tersebut.

"Benar secara adabnya adalah kurang molek bila kita menilai-nilai kediaman orang ketika menziarah.

"Tapi saya berasakan adalah suatu yang normal apabila berziarah, kita melihat sekeliling rumah tuan rumah supaya dapat dijadikan modal pembuka bicara.

"Lebih-lebih lagi apabila rumah yang kita kunjungi itu adalah rumah orang yang baru kita kenali.

"Kenapa saya mencari buku? Sebab buku adalah minat dan kerjaya saya. Kita cenderung mencari sesuatu yang ada persamaan dengan kita untuk dibuat modal bicara.

"Kalau yang minat sukan, tentulah topik sukan yang akan dibualkan," ujarnya.

Berpegang dengan pendiriannya, Saifuddin menganggap setiap keluarga perlu melabur untuk membudayakan membaca di rumah.

"Sekiranya kita inginkan yang terbaik untuk pendidikan dan masa depan anak-anak, kita haruslah tidak berkira untuk melaburkan sedikit masa dan wang untuk membina persekitaran yang kondusif bagi membudayakan membaca di rumah.

"Antaranya adalah menyediakan akses yang mudah kepada buku seperti mewujudkan perpustakaan mini.

"Di rumah, saya memperuntukkan satu bilik khas untuk dijadikan perpustakaan mini.

"Sebahagian kecil buku saya letakkan di ruang tamu untuk bacaan saya sendiri atau tetamu yang bertandang.

"Secara anggarannya di rumah saya ada dalam 400-500 naskhah buku," katanya.

Tidak serik untuk mengutarakan pendapat selepas ini, janji Saifuddin dia akan lebih berhati-hati memilih perkataan yang sesuai agar tidak menyinggung pihak lain.



#Viral #Viral #Raya #Tengok Rak Buku