Sepotong video yang dirakamkan pengacara dan pelawak popular Nabil Ahmad mencetuskan kontroversi di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video yang sempat dirakamkan oleh netizen daripada sesi live chat di Instagram, kelibat isteri Nabil, Zira Ayub dalam keadaan kurang sopan.

Tampil menjelaskan perkara terbabit, ujar pengacara MeleTOP itu keadaan yang berlaku di luar kawalannya dan aksi itu dirakamkan secara tidak sengaja.

"Ingin saya jelaskan, saya memang tidak sengaja dan tak perasan dia (isteri) ada di situ sebab ketika sesi live itu saya sedang fokus kepada skrin telefon.

"Perkara itu (live) dibuat kerana komitmen kerja untuk saya mempromosikan produk penjagaan diri. Bukannya saja-saja sembang kosong. Kalau nak tengok saya bercakap saja-saja baik tengok televisyen.

"Saya tengah asyik mempromosi produk, boleh pula orang rumah saya berkemban," katanya kepada Gempak.

Nabil yang ditemui pada majlis sidang media pelancaran single terbaharunya Pening di Red Box The Gardens semalam sedar akan perkara itu selepas dimaklumkan sendiri oleh isterinya.

"Saya tak perasan, selepas habis sesi live itu tiba-tiba isteri saya menerima banyak kiriman mesej suruh memadamkan sesi live itu.

"Dia pun terkejut dan saya pun tak sangka perkara ini terjadi," tambahnya.

Nabil turut meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir pengguna media sosial terutama Instagram yang menyebarkan video mengaibkan itu.

"Saya terkilan apabila ada pengguna yang merakamkan dan memuatnaik di Instagram. Kenapa perlu ambil dan viralkan?

"Sekurang-kurangnya simpan sikit common sense, kita sendiri ada ibu, saudara perempuan dan mungkin akan ada anak perempuan nanti.

"Jadi, saya telah hubungi akaun Instagram yang mula-mula menyebarkan video itu dan katanya ia hanya untuk hiburan. Oleh kerana itu jawapan dia, saya tak nak terus bertekak dengan dia," luah Nabil lagi.