Viral
Kecoh Download Haram Ada Apa Dengan Dosa, Pengarah Bersuara! - "Benda Curi, Halalkah?"
Filem Islamik Ada Apa Dengan Dosa berdepan cabaran baharu apabila ada antara individu tidak bertanggungjawab memuatturun karya terbabit secara haram.
Terkilan dengan perbuatan tersebut, pengarah Ada Apa Dengan Dosa, Rahila Ali menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
"Mula-mulanya saya ada terdengar perbualan beberapa individu di hadapan saya yang menyarankan satu sama lain menonton filem saya.
"Tapi alangkah terkejutnya apabila mereka berkongsi sesama sendiri filem Ada Apa Dengan Dosa yang dimuat turun secara haram!
"Yang peliknya mereka dapat kualiti yang sama dengan naskhah asal," kongsi Rahila kepada Gempak.
Sedih dengan situasi terbabit, kata Rahila usaha yang dicurahkan oleh tenaga kerja ibarat dipersia-siakan.
"Kami mengambil masa yang lama untuk menyiapkan naskhah filem ini, pasca produksi pun bukan makan masa sehari tetapi bertahun.
"Wang yang dilaburkan pun bukannya sedikit. Tergamak pula download haram ni.
"Fikirlah sendiri, benda curi ni halal ke?" tegasnya.
Rahila bagaimanapun menyeru orang ramai untuk berhenti menyebarkan rakaman muatturun haram secara berleluasa.
"Macam mana kita nak membangun kalau masih buat kerja-kerja haram macam ni.
"Saya tak halalkan! Kenapa nak sokong benda yang salah?
"Tepuk dada tanya selera," tambahnya.
Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan kehidupan seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga freethinker bernama Aurora (Wanna Ali) yang mendapat tahu identiti sebenarnya dari keluarga beragama Islam.
Lebih mengejutkan apabila Aurora adalah seorang anak luar nikah hasil daripada keterlanjuran perbuatan seorang pendakwah dan ibu kandungnya.
Kesannya, Aurora hampir membunuh diri namun kehidupannya berubah selepas bertemu dengan Khaliq (PU Riz).
Filem yang diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa telah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) sejak 4 Jun.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Ada Apa Dengan Dosa selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.