Kecoh Tuan Rumah Dikompaun RM25K, Tetamu RM5K! Namun Kisah Tersebut Rupanya….
14/05/2021 03:58 MYT
Sejak semalam tular beberapa mesej berserta gambar yang mendakwa ada kawasan perumahan telah dikompaun sehingga RM30,000.
Menerusi mesej tersebut, kawasan tersebut dikatakan berlaku di Nilai, Negeri Sembilan.
“Area rumah aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K,” kata seorang individu menerusi satu posting di platform Twitter.
Perkara itu sekali gus menyebabkan ramai ketakutan dan pada masa sama bengang kerana jumlah kompaun tersebut terlalu tinggi.
Walaubagaimanapun, hari ini, polis tampil menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman, perkara yang tersebar langsung tidak benar, sebaliknya ia merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama Aidilfitri di kawasan perumahan di Nilai Impian, Nilai, semalam.
"Gambar itu telah disalah tafsir sebagai tindakan kompaun. Kejadian sebenar adalah polis melakukan tinjauan bersama dengan pihak media untuk melihat kadar pematuhan penduduk terhadap SOP Aidilfitri di kawasan berkenaan.
"Dalam tinjauan itu, kami mendapati kadar pematuhan penduduk di kawasan perumahan berkenaan berada pada tahap tinggi dan tiada sebarang aktiviti yang melanggar SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada Bernama.
Apapun orang ramai dinasihatkan agar menghentikan sebarang penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial.