Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

“Kedai Gunting Rambut Dan Cermin Mata Tak Dibenarkan Beroperasi” - PM Dengar Pandangan Rakyat & Pakar

Azwa Rahman 13/04/2020 | 09:53 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu selepas menilai dan mendengar pandangan rakyat serta nasihat pakar terlibat.
"Beberapa hari lalu isu berlegar-legar ialah mengenai kedai gunting rambut. Seperti saya sebutkan dalam sidang media dua hari berturut-turut, kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat, kerajaan mendapat nasihat pakar, kerajaan mendengar suara badan NGO.
"Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan iaitu operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan, dan kedai cermin mata seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan," katanya ketika sidang media kepada Astro Awani.
Justeru, keputusan dibuat kerajaan itu menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan banyak pihak berhubung langkah kerajaan sebelum ini.
"Jadi, saya kira ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, maka Perdana Menteri memutuskan bahawa isu yang berkaitan dengan kedai gunting rambut dan sebagainya, kerana ia tidak dibenarkan sepanjang PKP dilaksanakan," ujarnya.
Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar kerajaan menangguhkan sementara kebenaran operasi kedai gunting rambut serta beberapa sektor lain semasa PKP fasa ketiga.
Terdahulu, terdapat banyak kedai gunting rambut bersepakat tidak mahu membuka perniagaan mereka kerana tidak mahu penularan wabak COVID-19.
Sumber: Astro Awani
#Perdana Menteri #Kawalan #Kedai gunting rambut #Pergerakan #Perintah
;