Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor perniagaan untuk beroperasi sehingga jam 10 malam bermula esok.

Antara premis terlibat adalah seperti kedai runcit, serbaneka, keperluan harian, kedai makanan haiwan farmasi, kedai dobi dan kedai cermin mata.

Menurut Ismail Sabri, keputusan diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko.

"Sebelum ini kita tahu banyak kekeliruan yang timbul selepas kerajaan memberi kebenaran kepada restoran dan kedai makan untuk beroperasi sehingga jam 10 malam dan menyukarkan penguatkuasaan kerana terdapat perbezaan dari segi waktu.

"Justeru selepas penilaian risiko oleh KKM, maka sektor perniagaan lain yang termasuk dalam senarai dibenarkan beroperasi semasa PKP, boleh beroperasi sehingga jam 10 malam termasuk kedai dobi, kedai cermin mata, kedai pakaian dan lain-lain," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyeru orang ramai agar meningkatkan disiplin diri dalam mematuhi arahan yang telah ditetapkan.