“Kedua-Dua Belah Kakinya Sudah Dijangkiti Kuman” - Makin Uzur, Pak Lan Dibutakan Mata Untuk Hilangkan Rasa Sakit ...
Asyikin Mayudin
06/10/2022 04:58 MYT
06/10/2022 04:58 MYT
Lama tidak mendengar khabar, rupa-rupanya keadaan kesihatan pelakon veteran Roslan Saleh atau Pak Lan kini semakin uzur.
Pemilik agensi umrah UT Travel & Tours, Ustaz Taufik yang kerap menziarahi Pak Lan berkata pelakon itu sudah tidak dapat melihat lagi memandangkan saraf matanya sudah dimatikan oleh doktor.
Pemilik agensi umrah UT Travel & Tours, Ustaz Taufik yang kerap menziarahi Pak Lan berkata pelakon itu sudah tidak dapat melihat lagi memandangkan saraf matanya sudah dimatikan oleh doktor.
Menurut Ustaz Taufik yang menziarahinya beberapa hari lalu, tujuan proses itu dilakukan kerana mahu menhilangkan rasa sakit dan pening kepala yang dialami Pak Lan akibat kencing manis.
“Keadaan dia sekarang memang semakin uzur. Doktor dah matikan saraf mata, jadi memang dia tak boleh tengok langsung seumur hidup.
“Sebelum ini mata dia memang dah tak berapa terang, nampak tapi kabur. Tapi disebabkan kepala dia kerap sakit berdenyut-denyut, jadi doktor terpaksa matikan saraf mata.
“Proses itu dilakukan sekaligus ketika dia jalani pembedahan kaki yang sudah dijangkiti kuman. Dia dah tak boleh jalan sejak beberapa lalu disebabkan kedua-dua kakinya sudah dijangkiti kuman.
“Sekarang ini, isteri dan anak dia yang bantu untuk uruskan dirinya. Mujur isterinya masih sihat dapat bantu uruskan apa yang patut,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Ustaz Taufik turut memberitahu Pak Lan sebelum ini tetap meneruskan berniaga di tepi jalan biarpun dalam keadaan kurang sihat.
“Sebelum ini, dia memang berniaga walaupun dalam keadaan sakit. Anak dia yang bantu sekali berniaga di tepi jalan. Sampai sekarang dia masih berniaga tapi anaknya yang uruskan.
“Kalau ada permintaan di stesen minyak, anak dia akan hantar. Tapi kalau tak laku, barang niaga tu akan dipulangkan semula. Itulah sumber pendapatan Pak Lan.
“Dari dulu Pak Lan memang tak ada nak minta bantuan, selagi dia boleh berniaga, dia akan usaha cari duit sendiri. Cuma, saya sendiri yang berharap orang ramai boleh menghulurkan bantuan memandangkan keadaannya sekarang sudah uzur,” ujarnya.
Ustaz Taufik turut memaklumkan, mereka yang ingin membantu meringankan beban boleh berbuat demikian dengan menghubungi isteri atau anak-anaknya.
Terdahulu, Pak Lan menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Pak Lan tidak lagi aktif berlakon semenjak keadaan kesihatannya yang semakin merosok sejak 2018.