The House musim keenam yang menampilkan bekas peragawati, Ezurin Khyra bersama lima anaknya, Tunku Amaan Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Omaan Khyra, Tunku Imaan Khyra dan Tunku Rmaan Khyra serta rakan rapat Ezurin, Magie Abang Saufi telah melabuhkan tirai semalam.

Setelah sepuluh minggu berlalu, akhirnya segala persoalan tentang kesudahan kisah mereka di rumah sementara yang didiami di Hulu Langat, Selangor itu terjawab.

Kepada anda yang terlepas menyaksikan episod akhir, usah risau kerana anda boleh menonton ulangan menerusi On Demand atau tonton sahaja kesemua episod menerusi aplikasi Astro Go.

Di sini, Gempak imbas kembali lima perkara menarik yang berlaku dalam episod akhir kepada anda.

Tunku Imaan Minta Maaf



Setelah menyinggung perasaan ibunya seperti yang dapat disaksikan dalam episod lalu, Imaan menghubungi Ezurin menerusi panggilan telefon untuk meminta maaf. Ezurin yang sebelum itu agak murung kembali ceria selepas perbualan tersebut.

BBQ Party Diteruskan!



Selepas Imaan meminta maaf, perkara itu membuatkan Ezurin kembali ceria lalu beliau tidak jadi untuk membatalkan BBQ Party yang dirancang. Ezurin kembali bersemangat dan meminta dua pembantu peribadinya, Bell dan Nana untuk terus menguruskan persiapan parti tersebut.

Ezurin Tercari-Cari Mana Tunku Amaan?



Ketika parti tersebut berlangsung, anak-anak Magie, Bell, Nana serta jiran Ezurin datang menambahkan kemeriahan. Pada mulanya, Ezurin tercari-cari di mana Amaan kerana bimbang anaknya tersinggung dengannya ketika mood kurang baik sebelum itu. Tiba-tiba, Amaan muncul memberi salam dan jelas terpancar kegembiraan di wajah Ezurin.

Ucapan Penghargaan Yang Bermakna



Ketika BBQ Party itu juga, Ezurin mengambil peluang untuk memberi ucapan penghargaan dengan mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk jiran mereka di Hulu Langat iaitu Alya dan bapa saudaranya. Ezurin pasti akan merindui suasana kampung sesudah pulang ke rumahnya di kota.

Lagu Sungai Lui Menyentuh Emosi



Dalam babak akhir, lagu nyanyian Aizat Amdan berjudul Sungai Lui dimainkan ketika Ezurin melangkah keluar dari rumah sementaranya itu. Wajahnya kelihatan sayu dan sedih untuk meninggalkan, namun tiada apa yang berkekalan dalam kehidupan. Ezurin mengatakan semua yang berlaku sepanjang beliau berada di situ pastinya memahatkan kenangan manis dalam hidupnya.

Kepada anda yang belum menyaksikan episod akhir, jangan lupa untuk menontonnya!

Gempak sebagai portal rasmi juga membawakan video-video eksklusif menerusi gempak.com/thehouse.