Kehadiran Astro & RTM Lonjak Nilai Komersial Liga Malaysia, Safee Sali; “Nilai Sesebuah Pasukan Mampu Ditingkatkan…”
Langkah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) jalin kerjasama dengan dua stesen televisyen terkemuka tempatan, Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga M) mampu melonjakkan nilai komersial pertandingan bola sepak tempatan.
Menurut bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, dalam era masa kini, bola sepak sudah menjadi satu perniagaan dan jalinan dengan penyiar rasmi ini pastinya akan menguntungkan semua pihak termasuk penyokong itu sendiri untuk mendapatkan info terkini pasukan kesayangan masing-masing.
“Bola sepak masa kini sudah jadi industri dan kitarannya akan saling berkait rapat diantara satu sama lain. Selain manfaat yang diperoleh pihak penyiar, pasukan juga pasti akan dapat keuntungan daripada kerjasama ini.
“Sebagai contoh, pasukan akan dapat hak penyiaran dan dalam masa sama, nilai sesebuah pasukan juga mampu ditingkatkan. Bukan saja siaran langsung, penyokong juga pastinya akan dapat ikuti pasukan mereka secara lebih rapat menerusi program atau pun segmen khas yang bakal diatur oleh pihak penyiar rasmi.
“Sokongan masa kini tidak hanya terhad dengan hadir menyaksikan perlawanan di stadium sebaliknya ia harus dilihat secara lebih meluas seperti yang kita dapat lihat pada liga luar negara. Apabila kelab dapat publisiti, sudah pasti ia akan beri manfaat kepada pasukan termasuklah dalam hal menjana pendapatan,” katanya.
Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan boleh menyaksikan perlawanan siaran langsung menerusi platform YouTube Unifi yang disiarkan secara percuma.
Penglibatan Astro dan RTM ini bakal menjanjikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga M musim ini demi kepuasan tontonan peminat tanah air.
Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini mengesahkan RTM akan menyiarkan 75 perlawanan Liga M 2023 secara langsung termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Sementara itu, Astro akan menyiarkan semua perlawanan dalam definisi tinggi (HD) dan boleh di tonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.
Menerusi kerjasama ini, Astro akan membawakan variasi persembahan dan penyampaian ulasan serta analisis di studio dari barisan pakar, terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam dunia bola sepak.
Kandungan eksklusif lain termasuklah, sorotan perlawanan, sidang media pra-perlawanan, sesi latihan pemain, akses temubual pemain serta aktiviti menarik yang akan diadakan bagi memberi peluang dan pengalaman kepada peminat merasai kehangatan Liga M nanti.
Sumber - Kosmo