Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meraikan 100 hari perkhidmatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menerusi satu posting di laman sosial Facebook, Dr. Zul sempat berkongsi tentang kehadiran jemaah masjid di Wilayah Persekutuan Putrajaya kurang memberansangkan.

“Alhamdulillah genap 100 hari di sini dengan izin-Nya. Saya dimaklumkan sebentar tadi oleh Ustaz Hamdan, salah seorang imam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Wilayah Persekutuan Putrajaya bahawa kehadiran jemaah masjid kurang memberangsangkan. ⁣⁣



"Bermula semalam, masjid, surau Jumaat dan surau di zon hijau dan zon kuning di Wilayah Persekutuan mula dibuka dengan had kapasiti 1/3 dari jumlah had kapasiti dewan solat utama,” tulis Dr. Zul di Facebook beliau.

Malah, beliau sempat menyeru kepada orang ramai untuk kembali mengimarahkan semula masjid, surau Jumaat dan surau setelah hampir tiga bulan ditutup sepanjang pelaksaaan PKP dan PKPB.

“Jemput kita imarahkan semula masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon hijau dan zon kuning di Wilayah Persekutuan bagi yang berhampiran.

“Pastikan patuhi semua SOP yang ditetapkan.⁣⁣⁣⁣ Bagi negeri-negeri lain, boleh rujuk dan patuhi arahan semasa pihak berkuasa agama negeri,” ujar beliau lagi.

Hasil tinjauan Gempak di ruang komen, ramai wargamaya yang masih keliru tentang pembukaan masjid dan surau yang sudah dibuka.

Malah, ramai yang turut meluahkan rasa kekecewaan apabila masjid di kawasan mereka masih belum beroperasi.

“Saya hairan sesetengah tempat seperti di tempat saya surau dan masjid tak dibuka. saya pergi semalam masih tutup siap diumumkan suruh solat di rumah walaupun dalam zone kuning. Kenapa ye? Saya tinggal di WPKL,” tanya seorang wargamaya.

“Di Selangor masih terlalu ketat berbanding Putrajaya. Dan hanya masjid terpilih sahaja yang boleh berjemaah. Memang keliru,” tulis seorang wargamaya.

“Untunglah KL. Sabah masih ikut peraturan 12 jemaah solat fardu dan 40 bagi Solat Jumaat. Jadi, yang terpilih saja boleh,” luah seorang wargamaya.

“⁣⁣⁣⁣Dulu masa PKP ramai rindu masjid suruh buka cepat la, sekarang dah lupa jalan ke masjid ke?” tegur seorang wargamaya.

“Bila pandemik ni berlaku terserlahlah banyak kelemahan negara kita menguruskan agama. Haru biru, kucar kacir, lintang pukang. 14 negeri, 14 jenis peraturan dan macam-macam lagi yang memeningkan rakyat,” komen seorang wargamaya.

“itulah manusia bila masjid ditutup, bukan main melenting bila masjid dibuka tak ingin ke masjid pun. Masih tak insaf atas bala yang Allag turunkan,” kata seorang wargamaya lagi.

Sekadar info, Dr. Zul yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengangkat sumpah pada 10 Mac lalu.