Hiburan
"Kehadiran Ustaz Ebit Lew Memberi Sinar Untuk Keluarga Kami" - Anak Pak Ishak
"Ustaz tak bersalah, beliau menyantuni kami sekeluarga dengan baik dan kami tidak rasa pun dia aibkan keluarga kami yang sememangnya dari dahulu berkeadaan begitu," kata Siti Nor Saadiahton Ishak, 25.
Memetik laporan Harian Metro, wanita ini berkata, dia sangat sedih apabila mendapat tahu pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tidak lagi akan membantu golongan miskin secara langsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dipanggil ke Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.
Katanya, jika keterangan itu membabitkan kes tular mengenai bantuan kepada keluarganya, dia sangat berharap Allah membuka jalan dan rezeki yang lebih luas untuk Ebit membantu golongan memerlukan selepas ini.
"Sesiapapun yang membuat laporan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan ustaz, ketahuilah bahawa kehadiran ustaz ke rumah kami tempoh hari membawa sinar baharu untuk keluarga saya berubah.
"Selama ini, kami sekeluarga hargai setiap bantuan yang diberikan kerajaan negeri, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), penduduk kampung dan ahli jawatan kuasa masjid, bantuan yang diberikan sangat banyak dan kami bersyukur dengan pertolongan semua pihak.
"Kemudian Allah aturkan pula pertolongan daripada ustaz yang sememangnya pada ketika itu kami sekeluarga mahu berpindah, tiada siapa yang bersalah dan kami menerima bantuan daripada sesiapa pun dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi di Alor Setar.
Anak ke enam daripada 10 beradik ini berkata, dia sangat mengharapkan semua pihak berlapang dada dan tidak menganggap kes tular keluarganya itu memalukan sesiapa atau pihak tertentu.
Katanya, sehingga kini ahli keluarganya sangat berharap Ebit dapat kembali ke rumah sewa baharu mereka berikutan mereka sangat 'dahagakan' nasihat dan kata-kata semangat daripada beliau.
"Anak saudara sendiri sejak jumpa Ustaz Ebit Lew tak pernah lekang daripada mulut mereka menyebut nama ustaz, mereka berulang menyuarakan mahu ke sekolah dan jadi seperti ustaz apabila dewasa nanti.
"Kami sudah lali dihina orang, namun kehadiran ustaz memberi sinar untuk keluarga kami menjadi lebih baik, saya doakan ustaz tak putus asa dan percayalah lebih ramai di luar sana masih memerlukan ustaz.
"Semoga Allah memelihara dan melindungi ustaz selalu," katanya, anak kepada pasangan Jamaliah Rejab, 54, dan Ishak Darus, 77.
Keluarga Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Ishak sebelum ini tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, Alor Setar sejak sekian lama.
Bagaimanapun, mereka berjaya dipujuk Ebit untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih selesa di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di Alor Setar, Isnin lalu.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video