Hiburan
"Kehidupan Hanya Sementara. Semuanya Atas Izin Nya. Tenang Dan Jangan Berhenti Berdoa .." - Yana Samsudin
Pengacara dan pelakon Yana Samsudin telah berkongsi satu petikan kata-kata semangat bersama beberapa terjemahan ayat daripada surah An-Nisaa'.
"Kehidupan hanya sementara..Semuanya atas izin nya..Tenang dan jangan berhenti berdoa," tulisnya.
"Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar
bahayanya. (An Nisaa' 4:27)
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (An-Nisaa' 4:28)
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (An-Nisaa' 4:29)
"Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).(An-Nisaa' 4:30)
"Wallahualamissawa..Selamat berbuka semua," tulisnya.
Walaupun entri itu dituliskan secara umum, netizen beranggapan ia mempunyai kaitan dengan berita aktor, Datuk Farid Kamil yang dipenjara.
Kebanyakan daripada pengikutnya memberi kata semangat dan mendoakan semoga diberi ketabahan untuk menghadapi dugaan ini.
Pada Rabu lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor memerintahkan Farid Kamil Zahari dihukum penjara sembilan bulan dan berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu.
Dalam prosiding itu, mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksaan hukuman.
Berikutan itu Farid Kamil akan dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu diperintah bermula tarikh sabitan iaitu semalam (Rabu).