Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kehilangan Nadi Selepas Buat IVF, Nana Karia & Ezad Lazim Dedikasi Lagu Duet Untuk Pasangan Suami Isteri

Shahrin Zulkifle
04/08/2022 14:00 MYT
Penyanyi berasal dari Singapura, Nana Karia, 42, mengakui lagu Meski ditulis berdasarkan pengalaman masalah kesihatan yang dihadapinya beberapa tahun lalu.

Ketika itu, nadinya pernah terhenti seketika sewaktu menjalani rawatan kesuburan in vitro fertilization (IVF).

“Lagu ini saya tulis selepas pengalaman saya melakukan IVF untuk kali kedua. Hampir tujuh tahun tak dikurniakan zuriat, jadi saya usaha guna cara IVF.

“Sewaktu proses mengeluarkan telur untuk IVF kedua, saya kehilangan nadi untuk tempoh 10 saat.

“Bila sedar daripada saat itu, suami saya terus bagi tahu jangan buat IVF lagi, dia kata biarlah tiada anak buat masa ini asalkan saya sihat dan ada bersamanya.

“Pengalaman yang saya anggap sedih dan menakutkan itu saya tuliskan dalam lagu ini,” katanya.

Nana ditemui ketika majlis pelancaran lagu Meski yang mana lagu tersebut dinyanyikan secara duet bersama seorang penyanyi lelaki berasal dari Malaysia, Ezad Lazim bertempat di Hotel Royal, Kuala Lumpur.

Tambah Nana, lagu yang dianggap sebagai wasiat itu di dedikasikan kepada semua pasangan suami dan isteri di luar sana.

“Saya dan suami pernah berborak siapa yang akan pergi meninggalkan dunia terlebih dahulu? Bagaimana pula dengan zuriat kami? Hal ini membuka topik untuk kami berdua.

“Kami mengalami waktu yang agak sukar memikirkan hal ini, jadi begitulah ceritanya sehingga saya menulis lagu ini.

“Apa yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini adalah kita sebagai manusia harus meneruskan perjalanan hidup walaupun sebesar mana dugaan yang datang.

“Secara kesimpulan, lagu ini merupakan wasiat buat insan bernama suami dan isteri,” tambahnya.

Sementara itu, ditanyakan pula kepada Ezad berkenaan penerimaannya tentang lagu Meski, dia berkata lagu tersebut begitu dekat dengan dirinya.

“Saya banyak kali jatuh sakit, ada masa memikirkan tentang kematian, merenung nasib kalau suatu hari saya sudah tiada bagaimana dengan isteri dan keluarga saya.

“Bila saya terima lagu ini, sangat berkait rapat dengan saya, kami mampu mendalami isi lagu ini untuk disampaikan kepada pendengar.

“Kami luahkan segala rasa pada lagu ini secara ikhlas dengan menggambarkan kehidupan kami yang dahulu ada naik turunya,” kongsi Ezad.

Lagu Meski merupakan hasil ciptaan sepenuhnya komposer Jaybon Osman dan lirik ditulis oleh Nana Karia.

Meski merupakan titipan doa buat orang yang tersayang selepas berjuang dalam hidup bagi memberikan yang terbaik buat orang disekelilingnya.

Lagu Meski boleh dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, Spotify, Apple Music dan YouTube.

#Ezad Lazim #IVF #Lagu Baru Meski #Meski #Nana Kaira IVF #Nana Karia
;