Hiburan
Kehilangan Terjawab, Jalani Kehidupan Dengan Lebih Baik, Ini Khabar & Foto Terbaharu Anita Sarawak Bersama Suami
Kehilangan penyanyi tersohor, Anita Sarawak sejak tahun 2011 akhirnya terjawab selepas penulis lirik yang juga merupakan bekas wartawan hiburan, Roslen Fadzil berkongsi perkhabaran terbaharunya.
Perkhabaran terbaharu
Roslen atau lebih mesra disapa sebagai Slen memaklumkan Anita kini bahagia menjalani kehidupan dengan lebih baik bersama suaminya, Mahathir Abdullah.Menurut Slen, pada Oktober lalu dia cuba menghubungi Anita bersama suaminya di Las Vegas menerusi adik angkat penyanyi hebat itu iaitu Shuib Taib.
“Oktober lalu saya diminta membantu seorang promoter konsert untuk mendapatkan Superstar Anita Sarawak yang kini kekal menetap di Amerika Syarikat.
“Hakikat ini kerana promoter berkenaan berhasrat menganjurkan sebuah konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur sekitar 2025.
“Lantaran Anita menjadi salah seorang bintang handalan yang turut tersenarai dalam kertas cadangan untuk beraksi dalam konsert mega itu bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap oleh Adnan.
“Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Adnan daripada lirik karya Seri Bayu.
"Hi Shuib. Terima Kasih kerana sudi menghubungi. Apabila saya memaklumkan kepada Kak (Anita) tentang pemergian Adnan dulu, beliau merasa begitu sedih, terkenangkan waktu beliau yang pernah dikongsi bersama salah seorang produser terbaik sepanjang zaman (Adnan).“Demi mendapatkan Anita, saya meminta bantuan adik angkat Anita, bekas wartawan Shuib Taib untuk menghubungi Anita dan suaminya Abang Mahathir di Las Vegas dengan harapan mereka akan bersetuju. “Sesudah Shuib berjaya menghubungi mereka, akhirnya kami mendapat jawapan daripada abang Mahathir melalui WhatsApp.
“Harap kirimkan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan beritahu mereka bahawa mereka seharusnya berbangga dengan baka unik ayah mereka itu.
"Berhubung undangan persembahan itu, Kak ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan terhadapnya.
“Bagaimanapun, seperti yang diketahui, beliau sudah pun bersara ke arah kehidupan yang berbeza, lebih privasi sekarang yang beliau sendiri lebih selesa.
"Jadi mohon sampaikan kemaafan kami kepada pihak penganjur dan kami amat menghargai segala tanda ingatan,” kongsi Slen menerusi hantaran terbaharu di Instagram.
Turut disertakan dengan foto
Istimewanya lagi, hantaran itu juga turut disertakan dengan foto terbaharu Anita bersama dengan suaminya.
“Demikianlah catatan Abg Mahathir dengan penuh budi bahasa.
“Jawapan yang mungkin mengecewakan jutaan peminat Anita Sarawak namun itulah hakikat perubahan yang telah terjadi buat penyanyi Akhirnya Kini Pasti itu.
Untuk rekod, Anita bersama suaminya Mahathir menghilangkan diri pada tahun 2011 dan dikhabarkan berhijrah ke Las Vegas, Amerika Syarikat.“Pun begitu dengan khabar terbaharu dan foto mereka berdua yang saya kongsikan di sini, ia sekurang-kurangnya dapat mengubati kerinduan peminat terhadap Kak Nita dan abang Mahathir,” coretnya.
Usaha wartawan hiburan menjejaki Anita dan suaminya tidak berjaya kerana sehingga kini tiada sebarang petunjuk di mana mereka menetap.
Must-Watch Video