Pelakon dan penyanyi, Hazama Azmi, 35 mendedahkan keinginannya untuk mempunyai zuriat bukan kerana mahu mengikut ‘trend’ atau menjadikan anaknya sebagai 'content' di media sosial

Menurut Hazama, dia sebaliknya menyerahkan hal berkenaan cahaya mata kepada rezeki Allah SWT.

Tambahnya, mungkin ada hikmah atas segala yang berlaku kerana dia kini selesa menghabiskan masa berdua-duaan bersama isteri biarpun belum diberikan rezeki mempunyai anak.

"Mungkin Tuhan nak saya lebihkan masa bersama isteri. Banyak juga kelebihan antaranya saya ada lebih banyak masa untuk diluangkan dengan isteri tanpa berfikir mengenai ada anak kecil,” katanya.

Menurut Hazama, dia juga mengaku tidak tertekan dengan persoalan mengenai anak yang sering diajukan kepada dirinya.

“Terus terang saya bukan nak ada anak sebab nak ikut ‘trend’. Bila kawan ada anak, kita pun nak juga tapi saya bukan jenis begitu.

"Saya juga tidak mahu bila ada anak nanti jadikan dia sebagai ‘content’ di Instagram. Biarlah orang kenal saya saja, macam Datuk Rosyam Nor, sampai sekarang kita tak tahu isteri dan anak-anak beliau.

"Itu pendirian saya buat masa sekarang, tapi tak tahulah kalau saya berubah fikiran pula lepas dah ada anak nanti,” katanya.

Hazama ditemui di majlis pengenalan filem Marabahaya Underground yang berlangsung di Malaysia Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Filem Marabahaya Underground terbitan D’Edge Communication Sdn Bhd bakal menyaksikan Akim serta Hazama dan Dayana Roza sebagai peneraju utama.

Filem ini turut menerima kerjasama daripada Tourism Perak dan MAPS ini dijangka menjalani penggambaran sepanjang Ramadan ini.