Berita
Kejadian Sejadah & Telekung Berdiri Gemparkan Penduduk Kedah
Penduduk di sekitar kawasan Jeneri, Sik, Kedah gempar seketika susulan kejadian kain sejadah dan telekung yang dikatakan secara tiba-tiba berdiri tegak seolah-olah seperti kedudukan orang sedang bersolat.
Kejadian itu disedari Zahrizan Ghazali, 47, seorang penduduk Kampung Tok Aris pada jam 1.45 petang semalam sewaktu dia ingin menunaikan solat Zohor bersama anak perempuannya.
Kata Zahrizan pada awalnya, dia sedang membentangkan sejadah untuk menunaikan solat dan masuk seketika ke dalam bilik untuk menyarungkan kain (telekung).
Bagaimanapun, sebaik keluar daripada bilik, dia terkejut melihat sejadah dan kain telekungnya berdiri tegak seolah-olah orang sedang bersolat.
Dia yang terkejut lalu memanggil kelima-lima anaknya bagi memaklumkan kejadian aneh itu.
Perkara itu turut di kongsi Ahli Dewan Undangan Jeneri (ADUN) Mahadzir Abdul Hamid yang secara kebetulan berada di kampung terbabit dalam rutin mingguan beliau menziarahi rakyat.
Katanya kejadian itu perlu dijadikan iktibar.
"Saya menyifatkan kejadian ni sebagai satu yang perlu diambil iktibar dan yang pentingnya kita yakin bahawa setiap kejadian tu ada hikmah. Kita sebagai orang Islam percaya bahawa Allah boleh menunjukkan apa juga kebesaran. Cuma elakkanlah kita percaya kepada benda-benda khurafat," kata Mahadzir.
Sebelum ini beberapa kejadian sejadah berdiri pernah dilaporkan berlaku di Terengganu, Kedah dan Johor turut mengemparkan penduduk setempat.
Sumber: Astro Awani