Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

Kejam! 48 Hari Tak Bagi Jumpa Anak, Rupa-Rupanya Kena Dera Pengasuh... "Kenapalah Syaitan Sangat Buat Macam Ni"

Gempak 07/10/2021 | 09:20 MYT
Seorang ibu tunggal, M Vikneswari, 30, meluahkan rasa kecewa apabila dua anak lelakinya yang berusia enam dan 11 tahun menjadi mangsa penderaan pengasuh di Selesa Jaya, Skudai, Johor.
Menurut Vikneswari, dia tidak menyangka perkara itu akan terjadi dan hanya menyedari perbuatan pengasuh yang juga pasangan suami isteri itu selepas kedua anaknya dihantar pulang Khamis lalu.
"Luluh hati saya melihat keadaan anak-anak dengan kesan lebam, luka hampir di seluruh badan kecuali di kemaluan.
"Mereka menanggung kesakitan dan dalam keadaan lemah serta tidak bermaya seperti orang kebuluran," katanya seperti yang dipetik dari Harian Metro.
Difahamkan, Vikneswari telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Nusa Bestari, Johor Bahru pada 29 September lalu.
Katanya, dia mengenali pengasuh tersebut melalui rakannya dan membayar upah RM800 sebulan bagi menjaga anaknya sejak April tahun ini.
Menurut Vikneswari juga, dia hanya sempat menziarahi anaknya sebanyak tiga kali sejak April lalu disebabkan sibuk mencari rezeki.
Bagaimanapun, dia kerap menghubungi pengasuh untuk bertanya keadaan anaknya dan tidak dibenarkan untuk menziarahi mereka sejak kebelakangan ini atas pelbagai alasan.
"Suami saya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan saya merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu restoran.
"Saya kerap menghubungi pengasuh untuk mengetahui perkembangan anak dan mengatakan mereka sihat.
"Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, saya tidak dibenarkan untuk menziarahi anak kerana pengasuh memberi pelbagai alasan termasuk menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat pesakit COVID-19," katanya.
Menerusi tinjauan Gempak di media sosial, perkara itu membuatkan netizen berang dan kesal dengan perbuatan pengasuh yang tidak bertanggungjawab itu.
"Kenapa la syaitan sangat buat kanak-kanak macam ni.
"Mental ke buat macam ni dekat anak orang? Apa yang budak tu dah buat? Apa salah diorang sampai buat macam haiwan?
"Dapat pukul orang macam ni mesti best, geram pulak aku," tulis netizen di laman sosial sebuah portal tempatan.
Menurut Vikneswari, anaknya bercerita telah dipukul dan dicederakan dengan rotan, ditoreh pisau, disimbah air panas dan dicucuh puntung rokok.
Anak-anaknya kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dikhuatiri mendapat jangkitan kuman disebabkan luka pada hampir keseluruhan badan.
Sementara Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan pihaknya menerima laporan tentang kejadian tersebut.
Kata beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan dan tiga individu warga tempatan berusia 24 hingga 32 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.
Sumber & Kredit Foto: Harian Metro
#Dera #Ibu Tunggal #Pengasuh #Kanak-Kanak #Didera
;