Kejamnya Rancangan Realiti Hunger Games Versi Rusia

Syafiqah Jalal
Mac 28, 2017 04:24 MYT
Siapa mahu jadi seperti Katnis Everdeen dalam filem Hunger Games? Ya, kali ini filem itu dijadikan sebuah rancangan realiti oleh sebuah produksi televisyen di Rusia!
Sama seperti format filem itu; kekal survive hingga tamat tempoh permainan, rancangan realiti yang diberi judul Game2: Winter itu akan membenarkan pesertanya berbunuhan, merogol dan bergaduh sesama sendiri untuk hidup sepanjang tempoh sembilan bulan.
Biarpun mendapat bantahan habis-habisan, penganjur rancangan itu yang juga seorang usahawan terkenal, Yevgeny Pyatkovsky bertegas akan meneruskannya.
"Semuanya dibenarkan! Bergaduh, minum arak, membunuh, merogol, merokok dan apa saja.
"Jika peserta wanita mengandung sepanjang rancangan itu pun, tiada masalah untuk kami jika dia pandai jaga diri," kata penganjur rancangan tersebut.
Game2: Winter akan menempatkan 30 orang peserta berusia 18 tahun ke atas di daerah terpencil di Siberia dengan suhu serendah -40 darjah selsius dan hidupan mereka akan disiarkan secara global di Internet sepanjang masa.
Yevgeny Pyatkovsky
Antara syarat yang ditetapkan, peserta tidak dibenarkan membawa senjata lain selain sebilah pisau sepanjang permainan untuk mempertahankan diri daripada peserta lain atau binatang buas.
"Tidak akan ada pasukan keselamatan bertugas melainkan dua buah helikopter disediakan sekiranya berlaku kecemasan.
"Peserta boleh menarik diri daripada permainan dengan menekan butang kecemasan di telefon satelit mereka untuk bantuan," tambahnya.
Sebanyak 2,000 buah kamera dipasang di sekitar hutan Novosibirsk di Siberia untuk merakamkan aksi peserta.
Tempoh permainan itu akan bermula pada 1 Julai 2017 hingga 1 April 2018.
Pemenang akan menerima hadiah wang tunai 10 juta Roubles atau $1.63 juta USD (RM7.21 juta)
Setakat ini Game2: Winter sudah menerima pelbagai penyertaan daripada seluruh dunia termasuk Korea, Sweden, Argentina, England dan Brazil. Mari lihat senarai calon peserta awal mereka.
Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: The Siberian Times, BBC
#Game2: Winter #Hunger Games #Reality #Rusia #Show