Anak kepada pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam memaklumkan bapanya sempat menelefon ibunya sebelum kejadian.

"Kali terakhir dia (ayah) telefon ibu saya. Dia kata berhenti minum sekejap, kejap lagi abang balik," katanya.

Anak sulung arwah, Muhammad Sharul Izuan, 16, berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas anggota polis datang ke rumah kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut dan tidak percaya apabila diberitahu arwah turut terlibat dalam insiden berkenaan.

"Pada pagi hari kejadian (Khamis), sebelum ke sekolah, saya sempat bertegur dengan ayah yang sedang isi air di tangki kereta.

"Minggu lepas waktu kami sekeluarga dalam perjalanan ke 'mall' di Sepang untuk beli buku adik, dia (arwah) tiba-tiba bagi dua gambarnya untuk saya simpan. Dia hanya kata, ambil dan simpan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman mereka di Taman Desa Vista, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang, Khamis, Sharipuddin yang bekerja sebagai pemandu e-hailing sedang melalui kawasan terbabit sebelum pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dilaporkan gagal dikawal lalu terhempas mengenai kereta jenis Nissan Almera dipandunya.

Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul serta Nur Izzara Arissya, 9.

Difahamkan, jenazah Sharipuddin akan dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sultan Hishamuddin Bandar Baru Salak Tinggi.

Sumber: Sinar Harian