Hiburan
“Kejayaan Suami Adalah Kerana Sokongan Isteri” – Datuk Paduka Mustapha Kamal
Pelakon Datuk Paduka Mustapha Kamal menganggap kejayaan yang diperolehinya selama ini adalah kerana sokongan daripada isterinya, Datin Sri Susan Manen.
Mustapha menerusi sebuah perkongsian di laman sosial Facebook (FB) telah memuat naik foto bersama Susan berserta kapsyen yang didedikasikan khas buat isterinya itu.
“Salam, kejayaan seorang suami adalah kerana sokongan dorongan dan dokongan seorang isteri. Tiga suku kekuatan yang ada dalam diri dan di jiwa suami adalah kerana isteri.
“Peranan isteri paling penting untuk kejayaan suami dan keluarga, berkat kesabaran dan kesungguhan usaha…Insya-Allah, Dia Maha Penyayang,” tulisnya.
Perkongsian tersebut telah mendapat lebih 1200 komen daripada pengikut di FB, dan rata-rata mereka mengucapkan tahniah serta terharu dengan penghargaan diberikan Mustapha kepada isterinya.
Isnin lalu, Mustapha dikurniakan darjah kebesaran Ahli Setia Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk Paduka pada Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke-50, di Istana Balai Besar, Kota Bharu.
Kegembiraan tersebut dikongsi Mustapha dengan memuat naik beberapa foto sewaktu isitiadat berlangsung.
Foto: Facebook Mustapha Kamal
Must-Watch Video