GAYA HIDUP

Kek Pengantin Jadi Busana Couture! Kolaborasi Hatta Dolmat & Gula Cakery Akan Diperaga Di KahwinFest 2025

Amri Hassan 16/04/2025 | 11:01 MYT
KahwinFest 2025 anjuran QALAM Management kembali lagi tahun ini selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 April di Wangsa Walk Mall, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Sebagai ekspo perkahwinan berkonsepkan pusat sehenti, acara ini menghimpunkan pelbagai vendor terkemuka yang menawarkan perkhidmatan dan produk seperti hotel, dewan kahwin, dekorasi pelamin, busana pengantin, katering, perancang perkahwinan, barang kemas, kad undangan, serta khidmat videografi dan fotografi. Tidak hairanlah ia menjadi acara yang dinanti-nantikan terutamanya oleh bakal pengantin.
Tahun ini, acara menjadi lebih istimewa apabila menyaksikan kolaborasi dua jenama tersohor — Gula Cakery x Hatta Dolmat, yang bergabung dalam sebuah persembahan kreatif yang unik dan tersendiri.
Menurut wakil penganjur, sebuah pertunjukan kapsul eksklusif dan pertama seumpamanya di Malaysia bakal menjadi tumpuan utama KahwinFest kali ini.
“Kapsul itu dipanggil Wear the Couture Dress Cake yang melihat penyatuan pereka fesyen terkenal tanah air, Hatta Dolmat dan pemilik jenama Gula Cakery (Nor Arieni Adriana Mohd Ritzal dan suaminya, Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli) berkongsi idea kreatif masing-masing.
“Acara ini mempersembahkan satu inovasi unik dalam dunia perkahwinan yang bakal menyaksikan kek pengantin sebenar bersaiz penuh direka sebagai busana couture dan digayakan oleh model secara langsung di pentas pertunjukan. Pendek kata, ia menjadi gabungan kreatif seni bakeri dan seni fesyen.
“Pastinya ia akan menterjemahkan elemen magis penuh imaginasi, kemewahan dan keindahan dalam satu persembahan visual serta bersejarah dibawakan oleh KahwinFest dengan tagline Festival Kahwin Paling Best,” ujar penganjur.
Sebanyak 44 tapak pameran akan disediakan, menampilkan pelbagai vendor perkahwinan yang hebat dan diyakini.
“Antara vendor yang sudah sah pembabitan mereka seperti Tamu Hotel & Suites, Damoora, Khulafa Studio, Rose Hall & Events, Topazio Imperial, VC Venture Travel, Medina Craft Indonesia, De Orchid Gombak, Butik Pengantin Reka Tradisi, Picturesque Production, Is Grand Hall dan Kopi Saigon Batang Kali.
“Tak ketinggalan Goldfinch Jewellery, Sweetpictures, Artisan Probooth, Golden Fly Energy Travel, Medionz Studio, Majestique Palace, Songkok Tok Abah, Scoopify, Coway, Prudential Takaful, Kumpulan Enak Rasa dan pelbagai lagi vendor terbaik menanti anda. Yang penting, kemasukan ke ekspo ini adalah percuma.
“Ekspo kali ini turut menawarkan potongan harga jualan sempena Aidilfitri sehingga 70 peratus untuk pakej kahwin terpilih. Pastinya ekspo ini juga menjadi lokasi berguna yang dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Hatta Dolmat menyifatkan kerjasama ini sebagai sesuatu yang amat istimewa dan mencabar kreativiti.

“Hatta sudah lama tak buat pertunjukan fesyen baju kahwin kerana lebih fokus kepada penyediaan busana Ready To Wear (RTW), butik dan korporat. Jadi saat diundang pihak KahwinFest, Hatta jadi teruja untuk memberikan sesuatu yang berbeza dan bukan sekadar ‘another collection’.

“Hatta mahu kerjasama unik ini termasuk dengan Gula Cakery bukan hanya menjadi kolaborasi di luar jangkaan tetapi masih di bawah satu bumbung untuk perkahwinan.
“KahwinFest juga platform yang Hatta yakin mampu merealisasikan keterujaan ini atas dasar pengalaman mereka. Tak sabar untuk melihat busana yang diperbuat dari kek dalam saiz sebenar manusia dan dipakai oleh model kelak,” ujar Hatta.
Bagi Nor Arieni pula, beliau percaya kolaborasi ini memberi makna yang mendalam.
“Pada akhirnya kita percaya dan optimis kerjasama sebegini menzahirkan pelbagai rasa dan impak. Saya bersyukur melihat kerjasama Gula Cakery dan Hatta ini menjadi realiti,” katanya.
#Hatta Dolmat #Pengantin #Kek #Couture #Gula Cakery #KahwinFest