HIBURAN

Kekasih Marshanda Meninggal Dunia Jatuh Dari Apartment - "Sepatutnya Kami Akan Bernikah..."

Gempak 14/08/2025 | 11:37 MYT
Penyanyi Marshanda atau nama penuhnya Andriani Marshanda, 36, mendedahkan pernah kehilangan kekasih hati yang meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah apartment.

Menurut Marshanda, kejadian itu memberi kesan yang sangat mendalam sehingga dia memilih untuk kurang aktif dalam dunia seni sejak dua tahun lalu.

Katanya, hubungan itu tidak pernah dikongsikan kepada umum kerana arwah teman lelakinya lebih mementingkan privasi.

“Selama dua tahun ini perasaan saya seperti tidak bernilai. Mungkin ini sebahagian daripada proses berduka.

“Saya pernah menjalinkan hubungan serius pada tahun 2022 namun tidak maklumkan kepada umum kerana dia seorang lelaki yang menjaga privasi. Dia tidak suka perhatian.

“Saya tak tahu dia jatuh dari tingkat berapa,” katanya.

Marshanda memaklumkan lelaki berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada awal 2023, selepas enam bulan mereka bercinta.

Tambahnya, arwah sanggup berpindah ke Jakarta demi bersama, malah mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga.

“Dia sudah beritahu ibu saya bahawa kami akan bernikah,” ujarnya.

Marshanda turut berkongsi bahawa kekasihnya itu bersedia memeluk Islam sebelum perkahwinan mereka.
#Indonesia #Kekasih #Jatuh #Maut #Marshanda #Apartment