Pelakon dan pengacara Zulin Aziz mengikat tali pertunangan bersama kekasih hati, Farhan Norzaini setelah dua tahun menyelam perasaan.

Memetik laporan BH Online, Zulin atau nama lengkapnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, dia dilamar oleh Farhan sewaktu berada di Madinah.

"Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika di Madinah. Sebenarnya, sudah lama kami merancang, akhirnya, Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

“Majlis pada malam ini diadakan serba ringkas. Malah, atas permintaan famili, kami hanya menjemput ahli keluarga terdekat demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP)," jelasnya.

Pasangan yang mula berkenalan di Instagram (IG) itu juga telah memilih 20 Februari sebagai tarikh pernikahan.

Majlis dianjurkan secara tertutup dengan dihadiri keluarga Zulin dan Farhan di kediaman abang Zulin di Segambut kira-kira jam 9 malam.

Pada majlis itu juga, Zulin menerima dua bentuk cincin iaitu iaitu cincin merisik dan bertunang.

Sementara itu di laman sosial IG, Zulin turut berkongsi momen-momen sewaktu majlis pertunangannya untuk tatapan umum.

A post shared by زولين عزيز (@zulinaziz)


Bekas penyampai radio Suria FM ini juga tampak manis mengenakan baju kurung moden berwarna biru pastel, sedondon dengan pasangannya.

Di ruangan komen pula, ramai rakan selebriti dan wargamaya menitipkan ucapan tahniah dan meluahkan perasaan gembira melihat Zulin akhirnya bakal bertemu jodoh selepas berdepan episod duka.

Pada tahun 2018, Zulin mencetuskan tanda tanya apabila majlis perkahwinan yang telah dirancang tidak akan menjadi kenyataan, selepas hubungannya dengan kekasih hati dari seberang sudah berakhir.