Laman Utama

“Kekuatan Jantung Hanya 27 Peratus, Saya Diminta Bersedia Untuk Dialisis,” - Ebby Yus

gempak
Mya Amri
26/02/2023
01:45 MYT
Sponsor Banner
“Kekuatan Jantung Hanya 27 Peratus, Saya Diminta Bersedia Untuk Dialisis,” - Ebby Yus
Pelakon Ebby Yus mendedahkan keadaan terkini mengenai tahap kesihatan dirinya.
Menurut Ebby, doktor memaklumkan keadaan jantungnya juga sangat lemah dengan kekuatan sekitar 27 peratus sahaja.
“Baru-baru ini doktor keluarkan air yang telah memasuki paru-paru dan jantung saya. Justeru, doktor mengingatkan saya kalau keadaan memaksa, dialisis adalah pilihan terakhir yang perlu dibuat.
“Begitu juga dengan jantung saya hanya ada kekuatan 27 peratus sahaja,” katanya.
Selain masalah jantung dan buah pinggang, Ebby juga dikesan mempunyai masalah saraf dan prostat.
Justeru, sepanjang seminggu di HKL, ada beberapa hari Ebby dipantau di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu.
“Sebelum masuk HKL, tubuh saya terlalu lemah sehingga tidak mampu berjalan dan saya juga sesak nafas sehingga terpaksa meminta kawan segera menghantar saya ke HKL.
“Selama di HKL, doktor tebuk keluarkan air dan saya dirawat dalam ICU,” jelasnya.
Ebby juga memaklumkan tahap kesihatannya tidak seperti orang normal lantaran komplikasi yang dihadapinya memerlukan rawatan dan pemerhatian berterusan.
Sekalipun diuji dengan dugaan kesihatan, namun, tidak sedikitpun kedengaran keluhan dari mulut seniman berusia 58 tahun itu.
Sebaliknya, Ebby tidak jemu-jemu memanjatkan kesyukuran pada Allah kerana masih memberi peluang kepada dia untuk menjalani hidup yang baik selain rezeki yang tidak putus buatnya.
“Saya bersyukur kerana masih ada kerja lakonan yang ditawarkan kepada saya. Ada sahaja undangan berlakon komedi yang saya terima.
“Tapi terbatas untuk penggambaran dalam studio sahaja, kalau di luar studio maaf saya tidak dapat menerimanya kerana keadaan kesihatan saya,” ujarnya.
Kata Ebby, masalah kesihatan yang dihadapinya bukan halangan untuk dia terus ceria selain sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa positif.
“Ada banyak hikmah yang mungkin kita tidak sedar, jadi elok sangat kita ceria dan sentiasa positif,” tambahnya.
Terdahulu, Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini selama seminggu kerana keadaan kesihatannya yang menurun. Sumber: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live