Hiburan
Kelebihan & Apa Yang Perlu Dipertingkatkan Oleh 5 Penyanyi Muda Ini - Perkongsian Daripada Pemerhatian Cikgu Shafi
Bukan calang-calang penyanyi yang pernah singgah di studio miliknya bersama suami untuk mendapat khidmat latihan vokal daripadanya. Daripada Amy Search, Ning Baizura, Jaclyn Victor hinggalah penyanyi-penyanyi terkenal lainnya seperti Noryn Aziz, Siti Nordiana, Hafiz Suip, Stacy dan ramai lagi.
Itulah guru vokal Shafizawati Sharif atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Shafi. Tidak kiralah sama ada mereka mahu kembali melatih suara mereka, mengingati teknik yang sudah terlupa, mengasah keupayaan yang sudah tumpul - Shafi adalah antara guru vokal terbaik di Malaysia.
Berpeluang berbual dengan Shafi yang kini sibuk mengadakan kelas secara atas talian, Gempak sempat bertanyakan pendapatnya tentang lima artis muda yang sedang mendaki puncak ketika ini. Dua pendapat mudah, tentang kelebihan penyanyi tersebut serta apa yang perlu dipertingkatkan, dan ini jawapan Shafi.
Wany Hasrita
Kelebihan Wany Hasrita adalah pesona yang mampu diciptanya di atas pentas dan dia lebih berkeyakinan untuk menguasai penonton. Keyakinan tersebut membuatkan banyak tarikan untuk penonton menikmati persembahannya.
Wany Hasrita juga sudah berani menyanyi kepelbagaian genre lagu dan itu membolehkan dia sedar tentang pelbagai teknik nyanyian.
Untuk meningkatkan lagi persembahannya, Wany Hasrita perlu stabilkan lagi nyanyiannya di setiap persembahan live. Dia perlu berlatih di ruang yang lebih besar dan bukan hanya di bilik atau di rumah.
Projeksi suara agak ke belakang dan dia perlu memperbaiki artikulasi ketika menyanyi. Dia kena banyak buat latihan pembelit lidah supaya sebutannya lebih jelas dan lebih ke hadapan.
Hael Husaini
Hael mempunyai kelebihan dalam mencipta lagu dan dia sangat selesa dengan lagu ciptaannya. Dia bijak dalam meimprovasikan nyanyian harmoni kerana dia bermula secara berkumpulan.
Sekarang Hael sudah berjaya menguasai nota rendah dengan sangat baik dan suaranya lebih tebal dan semakin ada atuhority.
Di usia sekarang, suara Hael sudah matang dan emosinya menyanyikan lagu-lagu balada semakin bagus.
Namun apa yang perlu dipertingkatkan oleh Hael adalah range suaranya yang semakin menurun, dan dia perlu banyak merehatkan suara dan melatih asas suaranya kembali.
Hael perlu memberi lebih perhatian kepada penjagaan suara serta latihan yang kerap seperti dulu. Latihan suara tidak boleh ditinggalkan.
Ubah sedikit gaya hidup supaya jangka hayat suara lebih lama dapat digunakan.
Aina Abdul
Kelebihan Aina Abdul adalah vokalnya sangat stabil dan susah untuk suaranya menjadi sumbang ketika menyanyi.
Aina bukan hanya setakat belajar vokal, tetapi dia menggunakan konsep berguru seperti sekolah-sekolah seni di Indonesia.
Range suaranya sudah matang dan dia mampu menguasainya dengan baik dan sempurna.
Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki untuk menjadi lebih baik. Aina jangan terlalu 'sombong' dalam menghasilkan emosi ketika menyanyi kepada penonton. Maksudnya, emosi itu hanya sampai pada dirinya tetapi penonton tidak merasai.
Dia perlu belajar untuk memindahkan perasaannya kepada penonton dan bukan hanya untuk dirinya sendiri.
Aina juga jangan berasa terlalu selesa ketika menyanyi kerana apabila terlalu selesa, seni perkataan yang dinyanyikan hilang jadi dia kena perbetulkan perkara tersebut.
Haqiem Rusli
Untuk Haqiem, dia mempunyai pesona yang menarik minat penonton. Secara vokal, dia ada peningkatan yang sangat baik.
Penghayatannya juga bagus kerana seperti Hael, Haqiem ada bakat mencipta lagunya sendiri, dan dia tahu susun atur suaranya yang kena dengan lagu ciptaannya.
Kelebihannya yang boleh bermain alat muzik juga sangat bagus kerana dia boleh melatih suaranya sendiri setiap masa. Jadi peningkatannya sangat ketara.
Apa yang harus dipertingkatkan oleh Haqiem adalah cuba mengurangkan rasa malunya ketika membuat persembahan. Dia seorang yang sangat pemalu. Agak sukar untuk penyanyi memberikan yang terbaik apabila tidak ada 'eye contact' kerana ianya sangat penting bagi seseorang penyanyi.
Dari segi vokal, Haqiem mempunyai tona suara yang agak sedikit ketat tetapi kerana itu bunyi yang dia mahukan, agak sukar untuk memperbanyakkan kepelbagaian dalam nyanyian jika dia tidak mahu mengubahnya.
Emosi nyanyiannya masih kurang untuk usia sekarang tetapi dalam tempoh dua tiga tahun lagi, dan beberapa perubahan yang perlu dia lakukan, dia akan stabil dari sudut emosi nyanyiannya.
Nabila Razali
Nabila adalah seorang penyanyi yang jujur. Ini menjadikan nyanyiannya sangat jujur dan tidak ada perasaan negatif kerana dia sendiri adalah seorang yang sangat baik dari segi pekerti.
Bila berada di atas pentas, Nabila mempunyai 'vocal image' yang tersendiri. Maksudnya, sebelum dia menyanyi lagi, orang sudah memberikan perhatian kepadanya kerana dia ada pesona
Tetapi seperti segelintir penyanyi muda sekarang ini, Nabila kurang berlatih untuk mempertingkatkan mutu persembahan. Dalam apa jua persembahan ataupun ketika tidak ada persembahan, latihan asas amat penting supaya suara sentiasa bersedia.
Nabila juga perlu menambah gema pada suara dan menyanyi dengan teknik yang betul. Dia menyanyi menggunakan suara tekak dan tekak mempunyai limitasi.
Itu pentingnya membuat latihan untuk menebalkan suara kerana dengan cara itu bila menyanyi suara tidak akan terkucil. postur badan juga kena betul untuk menghasilkan suara tinggi, tidak boleh membongkok.
Secara keseluruhannya Shafi menganggap industri seni tanah air mempunyai ramai pelapis-pelapis baru. Bagaimanapun, mereka jangan berasa selesa dengan peminat yang ramai tetapi harus memikirkan jangka hayat nyanyian mereka dan berapa lama mereka ingin berada di dalam industri.
"Penyanyi-penyanyi dulu kebanyakannya mempunyai band sendiri untuk mereka berlatih dan mereka dapat mengeluarkan suara seperti yang mereka mahukan di atas pentas."Penyanyi sekarang lebih banyak menyanyi lagu yang mereka dan berlatih menggunakan telefon dan laptop. Jadi bila menyanyi di atas pentas menggunakan mikrofon, mereka akan menjerit untuk mengeluarkan suara," kata Shafi mengakhiri bicara bersama Gempak.
Must-Watch Video