Laman Utama
Kelentang-Kelentong, Rupanya Lagu Hael Ini Inspirasi Bunyi Kuali, Unik Betul
Penyanyi Hael Husaini kali ini tampil dengan single terbaharu berjudul Kelentang-Kelentong.
Uniknya single kali ini, Hael memaklumkan Kelentang-Kelentong diinspirasikan daripada ketukan bunyi kuali.
“Sebenarnya ilham lagu ini tercetus secara tak sengaja selepas saya muncul di sebuah rancangan hiburan di Indonesia pada tahun lepas.
“Ketika itu, saya diminta untuk menyanyikan secara spontan berkenaan kuali. Jadi Kelentang-Kelentong itu adalah signifikasi terhadap bunyi ketukan kuali.
“Sekembalinya ke Malaysia, saya terus menghubungi Ezra dan kami terus berbincang. Saya menyimpan lagu ini terlebih dulu kerana masanya belum sesuai untuk diterbitkan sehinggalah kini,” jelasnya.
Kelentang-Kelentong dalam masyarakat Malaysia banyak signifikansinya, ia bukanlah sekadar ‘tin kosong’ yang berbunyi atau keadaan riuh-rendah semata-mata secara lazimnya.
Namun Hael juga mempunyai interpretasi sendiri.
“Kini, jalan cerita lagu ini telah diubah lebih sesuai dengan situasi terkini di negara kita yang telah membenarkan gelembung pelancongan terhadap beberapa destinasi dalam negeri dan juga kebenaran merentas negeri.
“Kelentang-Kelentong memberi gambaran keriuhan suasana tatkala berjumpa dan perasaan keterujaan dek kerana menahan rindu yang terlalu lama.” ujarnya.
Tambah Hael lagi, proses rakaman lagu dijalankan di studio rakaman komposer popular, Ezra Kong.
“Saya dan Ezra mengambil masa yang tak terlalu lama bagi penghasilan dan proses rakaman lagu tersebut, dan kesemuanya dijalankan di studio rakaman miliknya.
“Ini juga merupakan gandingan comeback di antara saya bersama Ezra dalam sebuah lagu setelah single Hati yang dilancarkan pada tahun lepas kerana sibuk dengan kerja dan projek masing- masing.
“Sebenarnya banyak lagi projek dan karya-karya saya bersama Ezra bakal dilancarkan pada tahun hadapan,” katanya.
Jelas Hael lagi, penggambaran video muzik (MV) Kelentang-Kelentong pula telah dijalankan di sekitar destinasi pelancongan yang popular di Malaysia iaitu Pulau Langkawi.
Dengan memaparkan tempat-tempat menarik yang sering dikunjungi oleh para pelancong di Pulau Lagenda itu bagi menimbulkan mood percutian yang penuh keseronokan.
“MV pada kali ini sangat santai dan straightforward, ia lebih kepada penceritaan tentang seseorang yang sedang bersiap-siap untuk keluar bersiar-siar di sekitar Pulau Langkawi.
“Kemudian bertemu dengan orang-orang tersayang sambil berseronok menghabiskan waktu bersama,” jelasnya.
Kelentang-Kelentong merupakan kerjasama serasi dengan Ezra Kong dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.
Hael yang kini sedang sibuk dalam rangka penyiapan 10 buah lagu buat album sulungnya masih berkesempatan menghasilkan single istimewa ini bersempena peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Fasa 1 ke 2 dan terkini, peralihan ke Fasa 3.
“Alhamdulillah, syukur dan syabas buat kita rakyat Malaysia kerana berjaya menangani masalah pandemik COVID-19 sebaik mungkin. Walaupun perjalanan kita masih jauh, namun saya positif dengan situasi norma baharu tatkala fasa endemik bakal menyusul kelak.
“Sejajar dengan itu, saya mengambil kesempatan untuk menghasilkan sebuah single bagi meraikan peralihan itu dengan lagu yang menggambarkan perasaan rakyat Malaysia secara amnya,” ujarnya.
Lagu rancak ala santai bergenre pop ini diberikan kelainan yang istimewa dengan suntikan irama lagu-lagu rakyat yang sering kita dengar sewaktu kecil dan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.
Lagu Kelentang-kelentong boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan.
Lagu ini juga boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa dan di mana-mana melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music, Joox, KKBox dan Deezer, manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.
Must-Watch Video