“Kelepok Tu Maksudnya…”- Aliff Syukri Mengaku Mempromosi Golongan LGBT?
Syafiqah Jalal
20/04/2022 09:16 MYT
20/04/2022 09:16 MYT
Usahawan kosmetik, Datu Seri Aliff Syukri tidak mahu mengiyakan atau pun menafikan dakwaan bahawa dia telah mempromosikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam muzik video lagu terbaharunya berjudul Kelepok Raya.
Aliff sebaliknya memberitahu apa yang cuba disampaikan adalah seni tarian.
“Saya tak nak mengiyakan atau menafikan sama ada saya mempromosi golongan LGBT ini atau tidak. Apa yang dilihat itu adalah seni tarian, saya cuma hendak beri kelainan sahaja,” katanya kepada Gempak.
Aliff ditemu bual selepas majlis berbuka puasa D’Herbs bersama media di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Pun begitu, Aliff meminta agar netizen tidak terlalu menghakimi penari-penari itu dari luaran sahaja kerana dia mendedahkan ada diantara mereka yang sudah berkahwin.
“Netizen nampak lembut saja, terus cop golongan LGBT.
“Mereka yang terlibat (menari) dalam klip video merupakan penari profesional. Mereka ada kerjaya tetap. Seorang itu merupakan seorang pensyarah dan ada seorang lagi itu, kerja sebagai askar.
“Dalam profesion askar pun ada biro atau exco kebudayaan tahu? Bila kalian menghina, tahu tak mereka semua ada tahap pendidikan yang tinggi, ada ijazah,”
“Ada antara mereka yang dah kahwin dan punya isteri. Jadi, kita tak boleh nak hakimi orang daripada apa yang kita nampak sahaja sebenarnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lagu rayanya kali ini Aliff menjelaskan makna sebenar tajuk Kelepok Raya.
“Kelepok tu maksudnya macam kita 'lepok' atau pukul orang lah macam tu…tiada makna lain pun. Saya pilih kerana ia catchy sahaja,” katanya ringkas.
Lagu dan MV Kelpeok Raya yang turut dinyanyikan oleh isterinya, Datin Seri Shahida itu telah dilancarkan hari ini di laman YouTube pada jam 12 tengah hari tadi.