Selepas tular kisah patung filem seram Annabelle merayau-rayau di stesen dan dalam gerabak Transit Aliran Massa (MRT) sekitar Kuala Lumpur, kelibat objek yang didakwa pocong pula dirakamkan di stesen Cheras.

Menurut sekeping gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak semalam, objek itu dilihat berselindung di sebalik tiang tempat pelanggan menunggu MRT.



Kemudian, objek putih berbungkus setinggi paras lelaki dewasa itu hilang sekelip mata.

Namun, kejadian itu belum disahkan oleh syarikat pengusaha pengangkutan awam itu setakat ini walaupun disedari oleh pegawai yang bertugas di bilik kawalan.

Imej yang dikongsikan di beberapa grup WhatsApp itu masih belum dapat dipastikan tarikh dan lokasi sebenar.

Segelintir netizen menganggap gambar itu telah disunting menggunakan aplikasi khas dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, menurut perkongsian sebuah blog, corak lantai yang dirakamkan bersama kelibat pocong itu menyamai stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cheras.




Teks oleh: Amri Hassan