Selepas dihimpit kontroversi rumah tangga, penyanyi Adira Suhaimi mengakui memfailkan cerai terhadap suaminya Datuk Seri Adnan Abu.

Memetik laporan Harian Metro, permohonan cerai yang dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat yang berlangsung sepatutnya jam 9 pagi itu diubah ke jam 3 petang hari ini.

Menerusi laporan itu juga, Adira yang pada awalnya menafikan perceraian itu telah mengakui kesnya akan berlangsung hari ini.

Malah Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red turut menafikan mengenai isu perceraian itu dengan berkata, ia hanya khabar angin seperti mana ia heboh diperkatakan sebelum ini.

“Berita mengatakan saya dan Adira mahu bercerai itu adalah palsu kerana kami masih bersama.

“Kelmarin saya baru saja pulang ke rumah Adira dan kami melakukan hubungan intim.

"Pagi semalam saya bersarapan bersamanya seperti biasa sebelum keluar bekerja. Hubungan kami baik dan mesra,” katanya kepada Harian Metro.

Adnan menikahi Adira sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata manakala Adnan telah mempunyai lima cahaya mata menerusi perkahwinan pertama sebelum Adira.