Sejak berita siri animasi lagenda Malaysia yang popular dalam kalangan masyarakat iaitu Keluang Man bakal diangkat ke layar Perak, ramai yang sudah menyatakan rasa tidak sabar untuk melihat hasilnya.

Malah di media sosial terutamanya laman Twitter, rata-rata netizen sudah mula memilih para pelakon yang bersesuaian untuk membintangi watak adiwira tersebut.

Bagaimanapun netizen meletakkan harapan supaya pihak produksi memilih bintang yang benar-benar mempunyai bakat lakonan dan boleh membawakan karakter dengan berkesan sehingga memberikan impak sama seperti siri animasi berkenaan.

Antara nama-nama yang dicadangkan netizen adalah Bront Palarae, Amerul Affendi, Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim. Mungkin juga kerana netizen mahu melihat sisi lain bintang-bintang hebat ini.
Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an. Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas Dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998.

Mempunyai 7 musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita amat unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

BACA: 26 Tahun & Masih Ikonik! Keluang Man Bakal Difilemkan, Siapa Layak Jadi Hero?

Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi adiwira bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.

Watak adiwira tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sikap kejujuran yang tinggi. Rentetan daripada reaksi positif para peminat dan penonton sejak animasi ini ditayangkan, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan lagi animasi kegemaran ramai ini.

Untuk info, Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Dengan kehadiran filem baru Keluang Man yang bakal diterbitkan, Astro Shaw dan Iconic Animation Studio komited untuk menghasilkan karya terbaik dengan memastikan legasi Keluang Man terus hidup bersama generasi baharu dan akan datang.

Ikuti perkembangan terbaharu filem Keluang Man ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.