Juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar masih belum merasakan dirinya mampu menjadi seorang pengacara yang bagus buat masa ini.

Menurut Nadhir yang juga seorang pelakon, penglibatannya sebagai pengacara Hero Remaja 2021 adalah satu tindakan untuk keluar dari zon selesa.

"Sebenarnya saya masih belum bersedia untuk melibatkan diri dalam bidang pengacaraan.

"Saya rasa kerja mengacara kena sentiasa bawa positive vibes kepada penonton, saya masih lagi belum masuk tahap yang boleh bawa diri saya sebagai pengacara, ianya berbeza dengan berlakon.

"Bagaimanapun saya cuba saja dan keluar dari zon selesa, kalau duduk dalam zon selesa pun bahaya juga," katanya kepada Gempak.

Nadhir berkata demikian ketika ditemui di majlis makan malam bersama barisan peserta Hero Remaja 2021 di The Chow Kit Ormond Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara itu diadakan sempena mempromosi 25 filem ikonik James Bond yang ditayangkan menerusi saluran sementara 007, saluran 407, Astro Go dan On Demand bermula 15 Oktober hingga 7 November 2021.

Tambah Nadhir, dia menerima respon yang baik daripada pihak produksi Hero Remaja 2021, cuma masih banyak perkara yang dia rasakan perlu dipelajari.

"Respon daripada pengarah baik-baik sahaja cuma saya perlu belajar banyak lagi.

"Walaupun saya ragu-ragu pada mulanya, saya terima sahaja tawaran pihak produksi kerana ia adalah tentang pasukan mereka, saya pun berasal dari program Hero Remaja, sudah tentu saya sangat menghargai mereka," katanya lagi.

Hero Remaja 2021 bersiaran selama lapan episod pada setiap Sabtu, 9 malam di Astro Ria.

Ia juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan kemudahan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

***Dapatkan berita terkini, menarik dan cepat, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.