Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Keluarga Saya Terpaksa Menunggu Sehingga…”- Penghantaran Pos Laju Ke Sarawak Lewat, Bob Yusof Bimbang Makanan Basi

Syafiqah Jalal
18/08/2021 04:50 MYT
Penyanyi Bob Yusof bimbang apabila penghantaran barang atau makanan ke kampungnya di Limbang Sarawak oleh Pos Laju mengambil masa yang lama kerana terpaksa menggunakan Bungkusan Laut Domestik.

Kata Bob sebelum ini juga keluarganya di Sarawak terpaksa menunggu sehingga dua minggu untuk menerima barang yang dihantar.

“Semakin lamalah perjalanan penghantaran barang kami, macam manalah kalau nak hantar barang yang berbentuk makanan?

“Apatah lagi nak hantar barang ke kawasan saya di Limbang Sarawak. Sekarang pun kadang-kadang keluarga saya disana terpaksa menunggu barang yang saya kirim dalam seminggu dua untuk sampai ke tangan mereka.

“Jadi sekarang kalau menggunakan laut berapa lama pula masa yang diambil untuk barang sampai ke tangan mereka?” luahnya.

Bintang kelahiran Akademi Fantasia 2 itu berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut dia memuat naik kenyataan dari Pos Laju yang memaklumkan penghantaran barang dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak melalui Bungkusan Laut Domestik.

Menurut Bob dia bukan hendak menidakkan perkhidmatan syarikat penghantaran tersebut tetapi terpaksa akui ia agak membebankannya sebagai pelanggan.

“Maaf saya hanya sekadar meluahkan pendapat kerana saya kenal sangat dengan perjalanan atau laluan ke kawasan saya yang diapit kanan dan kiri oleh negara Brunei.

“Malah saya percaya juga berkemungkinan besar kawasan-kawasan pedalaman lain pun akan menghadapi masalah yang sama.

“Boleh ke Pos Laju memberikan pencerahan berapa lama perjalanan laut ini untuk sampai ke destinasi yang dituju?” persoalnya.

Pun begitu, Bob sudah pun memadamkan entri mengenai pos laju itu di akaun IGnya.
#Sarawak #Bob Yusof #Keluarga #Kampung #Pos Laju
;