Hiburan
Keluarga Tidak Memberikan Tekanan Untuk Dapatkan Cahaya Mata - Jihan Muse
Pelawak dan pengacara Jihan Muse mengakui keluarga tidak memberi apa-apa tekanan kepadanya untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat ini.
Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa 33, berkata, keluarganya amat memahami dengan kesibukan kerjanya dan mereka juga tidak pernah memberi tekanan kepadanya untuk mendapatkan cahaya mata.
"Alhamdulillah, selain suami, keluarga juga amat memahami kerana dahulu sebelum berkahwin pun mereka juga tidak pernah bertanyakan kepada saya bila nak kahwin.
"Jadi dalam urusan untuk mendapatkan cahaya mata juga mereka tidak pernah memberikan tekanan kepada saya dan suami.
"Sebenarnya yang banyak tanya kepada saya mengenai cahaya mata ini adalah masyarakat diluar sana kerana keluarga dan kawan-kawan sememangnya sangat memahami," katanya kepada Astro Gempak.
Jihan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem Oh My English! : Road to Jojga yang diadakan di GSC Cinema, Pavillion, Kuala Lumpur, disini baru-baru ini.
Telemovie dua bahagian ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Elfira Loy, Randy Pangalila, Jihan Muse, Johan Raja Lawak, Mark Adam, Roax Tan, Mohd. Zhafir Muzani dan Juzztin.
Oh My English (OME) : Road to Jogja bahagian satu dan dua bakal bersiaran pada 3 dan 11 Disember ini di saluran Astro TVIQ (610), Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada pukul 9 malam.
Ia akan menyaksikan kemunculan 3 teraju utama Oh My English, Zack (Juzzthin), SYS (Roax Tan) dan Mazlee (Zhafir Muzani) bersama beberapa selebriti terkenal yang akan memeriahkan perjalanan kedua-dua telefilem ini.
Bahagian kedua telefilem ini pula akan menyaksikan kemunculan pelakon popular Indonesia, Randy Pangalila bersama Elfira Loy, di mana duo yang tidak asing di kaca TV sinema Malaysia ini akan digandingkan sekali lagi khas untuk peminat-peminat Oh My English!
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi