Kemalangan Bas UPSI: “Ada Mangsa Tercampak Keluar Dari Bas”
Sejumlah mangsa kemalangan bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli, berhampiran Tasik Banding, tercampak keluar daripada bas dalam kejadian awal pagi Isnin.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, tidak ketinggalan sejumlah mangsa lain keluar sendiri dan ada yang kekal berada di dalam kenderaan yang membawa mereka.
Sabarodzi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.04 pagi.
Pasukan keselamatan juga, jelas Sabarodzi, mengenal pasti kemalangan melibatkan mangsa seramai 48 orang.
Daripada jumlah itu, 44 orang merupakan penumpang di dalam bas merangkumi 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang pembantu.
Sementara, di dalam Perodua Alza pula, terdapat empat orang di mana tiga mengalami cedera ringan dan seorang lagi patah tangan.
“Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidrolik
“Apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas di mana dua mangsa cedera parah dan empat mangsa didapati telah meninggal dunia dan tidak tersepit,” ujar beliau.
Seterusnya, kata Sabarodzi, tindakan penyelamatan dilakukan oleh anggota bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri telah diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi.
Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Astro AWANI