BERITA

Kemalangan Bas UPSI: Pemandu Didakwa Di Mahkamah Hari Ini

Gempak 13/06/2025 | 01:40 MYT

Pemandu bas sewa khas yang terbabit dalam tragedi nahas di Gerik sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu, akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu yang ditahan sejurus selepas dibenarkan keluar Hospital Taiping akan dihadapkan ke mahkamah di Gerik.

Terdahulu, media melaporkan pemandu bas itu ditahan sekitar jam 5.45 petang Khamis selepas dibenarkan keluar hospital.
Difahamkan, lelaki itu diiringi oleh tiga anggota polis dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, ketika meninggalkan pekarangan hospital berkenaan.
Sebelum ini, Noor Hisam dipetik berkata, pemandu bas itu turut mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Tragedi terbabit berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, ketika bas membawa 42 pelajar UPSI itu sedang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, menuju ke kampus universiti berkenaan.

Kemalangan itu menyebabkan 13 pelajar UPSI disahkan terkorban di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital akibat parah.

Sumber: Astro AWANI

#Pemandu Bas #Meninggal #Pelajar #UPSI