Setelah lebih empat bulan ‘berehat’, karya adaptasi novel Pelindung Seorang Puteri dipilih untuk menghiasi slot Megadrama di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.

Tampil berbeza berbanding kisah cinta tipikal yang sering disajikan menerusi slot yang sama sebelum ini, Pelindung Seorang Puteri bakal menyuntik elemen romantik dan kejutan thriller dalam naratif penceritaan sebagai kelainan.

Drama bersiri Pelindung Seorang Puteri merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel yang mengangkat genre romantik thriller terbitan pihak Astro Ria dengan kerjasama syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Menariknya drama 16 episod yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim dan Sofia J Rhyland selaku penulis skrip filem ini menampilkan Lisa Surihani dan Farid Kamil sebagai hero dan heroinnya.

Selain pasangan dua pelakon utama itu, ia turut dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad, PU Riz , Zain Ruffedge, Jasmine Suraya dan ramai lagi.

Drama Pelindung Seorang Puteri mengisahkan Rose lakonan Lisa Surihani yang membawa diri jauh daripada keluarga setelah difitnah kerana sering diekori oleh pengendap misteri walaupun dia sendiri sebenarnya tidak pasti akan identiti pengendap misteri tersebut.

Adakah Firdaus (lakonan Zain Hamid), bekas kekasihnya yang masih menggilainya, Saiful (lakonan Farid Kamil), rakan sepermainan yang menyukainya sejak kecil atau Hazril (lakonan Sharnaaz Ahmad), kawan baik abang kandung Rose yang dalam diam meminatinya dari jauh.

Siapakah yang akan menjadi pelindung Rose daripada terus diganggu oleh pengendap misteri tersebut?

Saksikan Pelindung Seorang Puteri pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 28 Julai 2020 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Istimewa buat para pelanggan Pakej NJOI, episod pertama drama bersiri ‘Pelindung Seorang Puteri’ akan turut disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, drama bersiri ini turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.