Sudah lama tidak menyandang tugas sebagai pengacara, pelakon dan penerbit Sangeeta Krishnasamy bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos untuk sebuah program ratu cantik dan pencarian model, Azhagin Azhagi.

Bakal bersiaran pada Januari hadapan, Azhagin Azhagi merupakan sebuah program untuk mencungkil bakat gadis India tempatan dan bakal bersiaran di Astro Vinmeen HD (saluran 231).

"Sebenarnya, saya sudah lama tak jadi pengacara program. Saya bersetuju untuk terlibat dengan Azhagin Azhagi kerana saya mahu memberikan satu input terhadap program itu sendiri.

"Selain menjadi pengacara, saya juga akan menjalani modul latihan dengan peserta-peserta yang terpilih. Azhagin Azhagi bukan pencarian gadis cantik semata-mata, ia juga mempertaruhkan bakat, disiplin, keyakinan dan banyak lagi," katanya.

Tambah pelakon filem Adiwiraku ini, dia juga bakal menjalani modul latihan dengan peserta-peserta Azhagin Azhagi.

"Selain mengacara, saya juga akan menjalani latihan dengan peserta-peserta. Saya mahu menyentuh isu mengenai kesihatan mental.

"Kesihatan mental sering tidak diberikan kepentingan dan saya merasakan ia satu perkara yang sangat perlu diutamakan buat masa ini.

"Saya melihat generasi masa kini banyak yang ada depresi, stress, kemurungan.. Jadi, saya mahu menggunakan platform ini untuk membuka mata ramai pihak.

"Sejujurnya, saya sendiri rasa gementar kerana sudah lama tidak mengacara tetapi saya bersetuju kerana saya mahu memberikan input mengenai kesihatan mental dalam program ini," katanya lagi.

Sangeeta ditemui di majlis memperkenalkan program menarik sempena Deepavali 2019 siaran Astro di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Karya lakonan Sangeeta iaitu sitkom Adavadi Deepavali dan filem Vedigundu Pasangge bakal bersiaran bersempena sambutan Pesta Cahaya tahun ini.

Saksikan Adavadi Deepavali (Bahagian 1) pada 27 Oktober 2019, Ahad jam 2.30 petang dan Adavadi Deepavali (Bahagian 2) pada 28 Oktober 2019, Isnin jam 2.30 petang hanya di Astro Vinmeen HD (saluran 231).

Filem Vedigundu Pasangge pula akan bersiaran pada 27 Oktober 2019, Ahad jam 4 petang di Astro Vaanavil (saluran 201).

Untuk lebih informasi mengenai program menarik Astro sepanjang sambutan Deepavali, klik pautan INI atau layari www.astroulagam.com.my.