Bintang bola sepak kegemaran ramai, Cristiano Ronaldo tampil penuh bergaya ketika tiba di pusat latihan Manchester United (MU) menaiki kereta mewah, Lamborghini bernilai 170,000 pound (RM927,000) pada Rabu.

Ketibaan Ronaldo di pusat latihan kelab di Carrington itu mendatangkan hasil kepada penantian ramai jurugambar yang menanti kemunculannya di lokasi berkenaan.

Ronaldo juga sempat menunjukkan isyarat bagus (thumbs up) ketika sedang memandu kereta idaman ramai jejaka itu.

Baru-baru ini, Ronaldo mengesahkan kembali ke MU selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford untuk ke Real Madrid.

Dalam satu kenyataan di laman web rasmi MU, Ronaldo meluahkan rasa teruja untuk mengharumkan nama kelab berkenaan.

"Saya mempunyai sejarah yang menakjubkan bersama kelab ini, saya telah menyertai MU pada usia 18 tahun, sudah tentu saya gembira kembali ke sini selepas 12 tahun.

"Ia adalah keputusan terbaik yang pernah saya lakukan, satu permulaan baru, saya akan terus berjuang mencipta sejarah, menaikkan pencapaian MU dan menang pelbagai trofi.

"Seperti saya pernah cakap sebelum ini, saya di Manchester untuk membantu pasukan meraih hasil cemerlang, jurulatih juga boleh harapkan saya untuk apa sahaja yang dia mahukan. saya bersedia untuk segalanya," katanya.

Sumber: Daily Mail
Kredit Foto: Stadium Astro, REUTERS & AFP Via Getty Images