Bakal tampil dengan lagu raya baharu, Raya Rumah Terbuka, penyanyi duo, AishaHanim berpendapat lagu Aidilfitri alaf moden juga mampu untuk kekal malar segar sekiranya kena dengan selera pendengar.

Jelas mereka, lagu-lagu raya baharu juga mempunyai keistimewaan khususnya dari segi elemen komposisi melodi dan lirik yang lebih moden serta menepati citarasa pendengar muda.

"Memang kami sendiri suka mendengar lagu-lagu raya lama. Setiap kali Aidilfitri, lagu-lagu itu juga yang akan berkumandang. Tetapi lagu-lagu raya baharu pun sedap-sedap belaka.

"Kami percaya, dunia muzik itu luas. Mungkin ada yang beranggapan, sukar untuk lagu raya baharu menambat hati peminat tetapi citarasa pendengar sekarang sangat subjektif.

"Lagu ini juga adalah cara kami untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri itu sendiri. Kami cuba membawa pendengar kembali ke zaman kanak-kanak, ketika Aidilfitri disambut dengan penuh keriangan," ujar mereka.

Berkongsi cerita tentang Raya Rumah Terbuka, AishaHanim berkata, lagu yang berkonsepkan irama kugiran disuntik dengan elemen tradisional itu ditulis oleh Omar K dan lirik oleh Hanis Rafi serta Firdaus Rahmat.

"Kami selesa bekerjasama dengan Omar K. Dia faham hala tuju muzik dan senang untuk berbincang. Raya Rumah Terbuka menggabungkan elemen tradisional dan kugiran serta lirik yang mengimbau nostalgia Aidilfitri.

"Untuk muzik video pula, kami teruja apabila mendapat tajaan daripada sahabat kami, Datuk Aliff Syukri di salah sebuah pusat penginapannya. Kami memang mahukan suasana kampung itu.

"Kami berharap bila peminat mendengar lagu ini, terus rasa teruja untuk menyambut lebaran dan meraikan kemeriahannya bersama keluarga," kata penyanyi duo yang popular dengan lagu Angkara.

Raya Rumah Terbuka bakal dilancarkan bulan Ramadan ini di semua platform digital serentak dengan muzik videonya.