"Saya tahu dari awal lagi perkara ini tak betul," demikian kata personaliti media sosial, Norreen Iman yang terbabit dengan pertandingan TikTok Kementerian Pengajian Tinggi yang tular sejak semalam.

Norreen antara dua selebriti media sosial yang dipaparkan dalam poster TikTok Contest bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Tambah Norreen, dia sendiri mengakui rasa kurang senang menerusi gelaran 'influencer' seperti yang tertera dalam poster yang tular di media sosial sejak Rabu.

"Awal-awal aku tengok poster pun.. hmm. Aku kembang tekak tengok title influencer sebab aku tahu aku bukan.

"Aku jenis buat apa aku suka. Entahlah wei. Nak suruh edit balik, segan pulak aku," katanya.

Malah, dia sama sekali tidak menjangka pertandingan TikTok itu dikecam ramai.

"Apalah nasib aku. Baik-baik tak ada apa-apa, aku pun tak ada buat masalah dengan orang, jadi macam ni.

"Dipanggil datang sebab aku main TikTok. Ditanya pasal TikTok.

"Walaupun debor awal-awal, tapi tak apalah go on. Dah mereka nak, kita pun okey je lah," tulis Norreen menerusi akaun Twitternya.



Pertandingan TikTok yang bermula sejak 8 April lalu itu mendapat kecaman ramai apabila ia dikatakan tidak bersesuaian dilakukan ketika negara berdepan krisis Covid-19.





Malah, Noraini sepatutnya memainkan peranannya sebagai seorang Menteri Pengajian Tinggi dengan membantu pelajar-pelajar IPTA dan IPTS yang secara tidak langsung memberi kesan kepada pembelajaran mereka.

Turut tular sepotong video memaparkan aksi Noraini tampil dalam video TikTok bersama Norreen dan Iskandar Rahman untuk mempromosikan pertandingan itu.

Sebelum itu, turut tular beberapa keping foto Norreen bersama Noraini di pejabat Kementerian Pengajian Tinggi yang juga mendapat kecaman ramai.



Untuk rekod, beberapa Tweet yang dilayangkan Norreen telah dipadamkan.