Sebagai rakan seperjuangan, komposer dan penyanyi Cat Farish memberi nasihat kepada anggota kumpulan V.E lama dan baru agar berbincang secara baik bagi menyelesaikan masalah mereka.

Enggan masuk campur dalam isu itu, Cat yang juga anggota kumpulan Ruffedge dan The Fabulous Cats mengakui isu membabitkan masalah ‘ketua’ itu sememangnya sudah lama ada.

“Kita semua dah tua dah… sepatutnya dua pihak itu pun dah tak payah nak pening-pening. Sebenarnya mereka ini kena slow talk, nak bertumbuk ke apa ke lantak la.

“Janji boleh selesaikan benda itu. Saya tak nak masuk campur dengan isu itu sebab dah anggap mereka macam adik kami. Ikutkan dari dulu ada timbul isu sebegini (ketua).

“Ikutkan saya tak nak masuk campur pun sebab ini bukan dunia saya, mereka itu dalam dunia BBNU. Saya rasa okay saja kalau nak guna V.E GV tapi tak tahu la.

“Bila tiba-tiba saja ada isu gaduh ini, kami makan ‘popcorn’ saja la. Walaupun Adeep daripada Fabulous Cats, dia pun tak pernah cakap dengan saya apa-apa,” katanya kepada Gempak.

Cat diminta mengulas mengenai kemelut anggota kumpulan V.E ketika ditemui di majlis tayangan filem Hani : Antara Realiti & Fantasi di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada malam tadi.

Menurut Cat lagi, dia dan ahli kumpulan Ruffedge sebenarnya pernah beberapa kali bergaduh namun mereka menyelesaikan masalah antara mereka tanpa melibatkan orang luar.

“Ruffedge pun ada gaduh juga… bagi saya, setiap dalam kumpulan memang kena ada ketua dalam setiap tugasan. Maksudnya, setiap seorang itu ada tanggungjawab atau tugasan dia.

“Kami tak pernah berdepan situasi ini… kami takut dengan benda melibatkan kontroversi yang macam ini, adik-beradik gaduh sampai orang tahu. Kau ambil nasi aku, aku ambil nasi kau.

“Benda ini macam tak elok. Sebenarnya kami sendiri pernah gaduh sampai kena buang… maksudnya, kalau gaduh orang itu kena ‘cuti’ dan bawa haluan sendiri.

“Lepas itu, satu masa nanti gabung balik macam sekarang ini. Tapi kami selesaikan masalah sendiri, tak ada nak mengumpat belakang. Itu macam budak-budak,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Adeep, Cham, Hakim dan Fakhiz mengumumkan mereka mengundurkan diri dari kumpulan V.E menerusi sebuah sidang media di di HMO Space di Petaling Jaya.

Ia berikutan anggota V.E iaitu Zaf meminta mereka menggunakan nama kumpulan lain jika mahu aktif dalam industri seni selepas menyertai Gegar Vaganza 9 (GV9).

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!